Utama Berita Automotif Cuba lari pemeriksaan di KLIA, polis tahan lelaki langgar lima kenderaan

Cuba lari pemeriksaan di KLIA, polis tahan lelaki langgar lima kenderaan

29

Seorang lelaki yang dikehendaki polis ditahan selepas melanggar lima kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di laluan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika anggota kereta peronda polis menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

“Anggota peronda cuba menahan sebuah Honda Civic berwarna merah untuk pemeriksaan, namun pemandu enggan berhenti sebelum bertindak melarikan diri.

“Pemandu itu memandu ke arah laluan Terminal Aras 3 KLIA dan melanggar lima kenderaan awam sebelum berjaya ditahan berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa. 

Tambah beliau, hasil semakan mendapati pemandu berusia 30 tahun itu mempunyai 31 rekod jenayah lampau serta satu rekod kesalahan dadah dan dikehendaki polis. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya serta kesalahan trafik.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini bagi permohonan tahanan reman,” katanya.

Menerusi beberapa rakaman video yang tular, sebuah Honda Civic merah dilihat bergerak laju di lokasi kejadian sebelum melanggar beberapa kenderaan awam dalam keadaan trafik sesak.

Kenderaan itu turut dilihat menyelit di antara kenderaan lain ketika cuba melarikan diri sebelum dikejar polis dan berjaya ditahan berhampiran lokasi kejadian.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here