Utama Berita Automotif Thailand nafi kes curi petrol kenderaan Malaysia

Thailand nafi kes curi petrol kenderaan Malaysia

9

Thailand menafikan dakwaan kononnya terdapat kes kecurian petrol melibatkan kenderaan dari Malaysia ketika berkunjung ke Selatan Thailand.

Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata, perkara berkenaan tidak benar sama sekali.

Sebaliknya beliau berkata kejadian itu melibatkan kenderaan Thailand yang berlaku di Narathiwat ketika Ramadan lalu.

“Kenderaan Malaysia kena sedut petrol di Selatan Thailand adalah tidak benar sama sekali. Kejadian itu hanya satu kes dan membabitkan kenderaan Thailand.

“Ia dipercayai dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab, namun tidak melibatkan kenderaan Malaysia.

“Justeru, saya mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak gusar atau takut untuk melancong di sini dan polis sudah memaklumkan tiada kecurian petrol membabitkan kenderaan dari Malaysia,” katanya.

Jelasnya, bekalan minyak di Selatan Thailand memang terhad sebelum ini namun situasi itu semakin pulih.

“Jadi, kepada rakyat Malaysia, jangan takut untuk melancong di Thailand kerana bekalan minyak juga semakin pulih sejak empat hari lalu berbanding minggu lalu,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial mengatakan terdapat kes kecurian petrol di Selatan Thailand membabitkan kenderaan dari Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan sementara perjalanan ke Thailand susulan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan petrol dan diesel di negara itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dilaporkan berkata, nasihat itu khusus kepada mereka yang merancang berkunjung ke selatan Thailand sempena cuti panjang Aidilfitri.

Beliau berkata, mereka yang bercadang memandu ke destinasi popular seperti Hatyai dan Songkhla disaran menangguhkan perjalanan jika tiada urusan penting.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here