
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan diskaun istimewa 30 peratus bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sektor Selatan (KL Sentral-Kluang-KL Sentral) untuk pembelian tiket dari 20 Oktober hingga 30 November sempena Deepavali.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB yang menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Nizam
Mohamed Amin berkata tawaran diskaun itu untuk perjalanan antara 24 Oktober hingga 30 November dan penumpang boleh menikmatinya dengan menggunakan kod promosi GO2KLUANG30 semasa pembelian tiket.
“Sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai persiapan menghadapi lonjakan permintaan musim perayaan, Ahmad Nizam berkata KTMB menyediakan 278,792 tiket untuk tempoh 16 hingga 26 Okt, merangkumi 124,908 tiket ETS, 46,684 tiket KTM Intercity (ERT, ES dan Shuttle Timuran) serta 107,200 tiket Shuttle Tebrau.
Beliau berkata jumlah itu meliputi dua tren tambahan ETS bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral dari 17 hingga 22 Okt melibatkan 3,780 tiket tambahan yang mula dijual sejak 7 Okt.
“Inisiatif ini bukan sahaja bagi memenuhi keperluan perjalanan tinggi sempena Deepavali, tetapi juga sebagai usaha KMB menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih selamat, selesa dan mampan,” katanya.
Ahmad Nizam berkata KTMB juga menempatkan anggota polis bantuan dan petugas tambahan di stesen utama bagi membantu penumpang dan meningkatkan keselamatan platform.
Beliau juga menasihatkan penumpang tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal sebelum waktu berlepas kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren bergerak.