
Dakwaan kononnya berlaku manipulasi meter pam yang menyebabkan isian petrol kurang yang tular di media sosial sejak pelaksanaan Budi Madani 95 (Budi95) melibatkan petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter didapati tidak benar.
Pengarah Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata pemeriksaan dilakukan bersama Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd berikutan empat aduan diterima di seluruh negeri ini setakat ini mengesahkan bacaan meter pam berada dalam had selisih dibenarkan.
Beliau berkata, anggota penguat kuasa KPDN bersama Metrology Corporation Malaysia telah menjalankan pemeriksaan serta penentusahan meter pam minyak di stesen yang menerima aduan.
“Pemeriksaan itu dilakukan menggunakan alat penentusahan khas bagi memastikan ketepatan bacaan serta pematuhah piawaian ditetapkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya sebarang manipulasi oleh pengendali stesen minyak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Mufsi berkata, KPDN telah menjalankan 164 pemeriksaan di stesen minyak seluruh Terengganu sejak pelaksanaan Budi95 pada 30 September lalu.