
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke mengumumkan ketibaan dua set pertama tren ETS3 jenis EMU (Electric Multiple Unit) bagi laluan selatan hingga JB Sentral menerusi akaun Facebook rasmi miliknya.

“Hari ini saya berkesempatan melawat Depoh KTMB di Batu Gajah dan ingin berkongsi satu perkembangan yang amat menggembirakan buat pengguna perkhidmatan ETS.
“Dua set pertama tren ETS3 bagi laluan selatan sehingga JB Sentral telah pun tiba di Malaysia. Kedua-dua set EMU ini kini sedang menjalani ujian teknikal, dan sekiranya semuanya berjalan lancar, ia akan mula beroperasi menjelang Ogos tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, lapan set lagi sedang dipasang di kilang CRRC Batu Gajah dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan.
“Apa yang lebih membanggakan, kilang pemasangan ini kini dioperasikan oleh lebih 85 peratus tenaga kerja tempatan—mencerminkan potensi besar pemindahan teknologi dan pembangunan bakat dalam industri rel negara kita
“Ini adalah satu langkah penting ke hadapan dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan untuk menjadi hab kejuruteraan rel serantau,” ujarnya.