Utama Berita Automotif Tras rekod 1,500 permohonan sebulan

Tras rekod 1,500 permohonan sebulan

7

Platform digital pertama di Malaysia, Tras merekodkan kira-kira 1,000 hingga 1,500 permohonan pembiayaan pinjaman sewa beli kenderaan sebulan.

Lonjakan permohonan itu membuktikan kepercayaan orang ramai terhadap ekosistem digital dalam memudahkan proses mendapatkan pinjaman kenderaan tanpa perlu melalui kaedah konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kazrin Khairul Anuar berkata statistik menunjukkan lebih 80 peratus pemohon Tras terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah, khususnya mereka yang mahu memiliki kenderaan pertama.

Kazrin Khairul Anuar

“Paling ramai setakat ini sekitar umur 21 hingga 30 tahun. Tetapi ada juga yang sudah memiliki kereta pertama dan ingin naik taraf. Selalunya kategori itu paling banyak. Tetapi lebih 80 peratus pemohon berumur 40 tahun ke bawah. 

“Ramai pembeli bimbang apabila perlu berkongsi dokumen sensitif melalui kaedah tidak rasmi. Platform kami menyediakan saluran yang selamat dan terjamin untuk memuat naik dokumen, sekali gus melindungi maklumat peribadi pengguna.

“Kelebihan utama platform ini membolehkan pengguna membandingkan kadar faedah daripada ketiga-tiga bank rakan kongsi dalam satu paparan sahaja, dengan status kelulusan diketahui dalam tempoh kurang daripada satu minit,” katanya kepada Motoqar. 

Selain itu, beliau menyatakan keunikan Tras terletak pada alat kalkulator pinjaman digital yang disediakan. Tidak seperti kalkulator tradisional, ia membolehkan pengguna menyemak kemampuan pinjaman berdasarkan tahap gaji semasa tanpa perlu mendedahkan dokumen sensitif, sekali gus membantu pengguna mengetahui jenis kenderaan mengikut kemampuan. 

Melihat ke hadapan, Tras kini giat mengkaji mekanisma penilaian kredit baharu yang tidak hanya bergantung kepada rekod kewangan tradisional.

Syarikat sedang mengkaji profil tingkah laku digital pelanggan untuk menilai tahap disiplin dan amanah mereka dalam membayar balik pinjaman, sekali gus membuka peluang kepada pemohon yang tidak mempunyai sejarah kredit untuk memiliki kenderaan sendiri.

Selain itu, Tras turut memperkenalkan produk jaminan lanjutan selama dua tahun bagi memberikan ketenangan minda kepada pemilik dengan tawaran diskaun bagi model kenderaan tertentu di bawah EON sekaligus melindungi pemilik daripada kos penyelenggaraan tidak dijangka selepas tempoh waranti pengeluar (OEM) tamat.

“Satu lagi juga kita ada satu lagi produk yang nama extended warranty. Pembelian kereta baharu didatangkan dengan waranti 5-tahun. Dengan waranti lanjutan Tras, dapat disambung daripada satu, sapai ke dua tahun lagi.

“Jadi ia beri satu ketenangan minda kepada pemilik-pemilik kereta, untuk pastikan okey kalau dia ada masalah dengan enjin ke, masalah dengan break pad ke, dia boleh ada jaminan yang lebih lama daripada apa yang OEM yang bagi,” ujarnya. 

Dilancarkan pada September tahun lalu, Tras bertindak sebagai rakan strategik kepada institusi kewangan utama seperti Maybank, AmBank, dan Bank Muamalat bagi memastikan proses permohonan berjalan lancar. 

Bagi memberikan nilai tambah kepada pelanggan, Tras menawarkan promosi kadar faedah yang sangat kompetitif ketika siri jelajah. 

Bagi pengguna di Sarawak yang merancang untuk membeli kenderaan baharu, Tras kini sedang melangsungkan siri jelajah fizikal di Eon Automart, Kuching bermula hari ini hingga esok (17-18 Julai).

Pameran ini menawarkan pelbagai promosi eksklusif antaranya kadar faedah pinjaman dengan Maybank serendah 2.1 peratus dan harga promosi pakej waranti lanjutan bagi pembelian kenderaan di bawah EON serendah RM2,188 bagi model Mitsubishi Xpander dan XForce. 

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here