
UMNO Terengganu menggesa kerajaan menyemak semula cadangan pinjaman berjumlah RM6.4 juta bagi membiayai pembelian kereta baharu untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kerajaan negeri.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, keputusan itu bukan sahaja mencalarkan imej kerajaan negeri malah memberi gambaran seolah-olah kepimpinan sedia ada gagal memahami keutamaan rakyat.
“Dalam keadaan rakyat bergelut dengan tekanan ekonomi dan kekurangan peluang pekerjaan, tindakan kerajaan negeri meluluskan pinjaman rasmi bagi membeli kereta baharu untuk ADUN dan Exco amat mengecewakan.
“Rakyat menantikan berita gembira dalam pembentangan Bajet 2026, namun sebaliknya kerajaan lebih mengutamakan kemewahan wakil rakyat daripada mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu juga tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat, sebaliknya menunjukkan kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat sebagaimana slogan ‘Negeri Maju, Berkat dan Sejahtera’.
Jelasnya, UMNO Terengganu mendesak supaya keputusan berkenaan disemak semula dan diperincikan agar dana itu dapat disalurkan kepada program yang lebih memberi manfaat kepada rakyat.
“Kerajaan negeri perlu kembali kepada prinsip mendahulukan rakyat, bukan keselesaan pemimpin.
“Dana itu lebih baik digunakan bagi memperkukuh pembangunan komuniti, memperluas peluang ekonomi untuk anak muda serta menambah baik projek asas di peringkat akar umbi,” jelasnya.
Terdahulu, tular Kertas Dewan Undangan Negeri bertarikh 29 Oktober 2025 yang menyatakan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk meluluskan pinjaman kenderaan maksimum RM200,000 kepada Menteri Besar, Yang Dipertua DUN, Exco dan ADUN bagi tempoh empat tahun.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa keputusan MMKN terdahulu bertarikh 11 Julai 1990 dan 5 Mac 1997 dibatalkan dengan pelaksanaan enakmen baharu tersebut.






















![[Video] Betulke bayar lebih ansuran bulanan kereta, pendekkan tempoh loan?](https://www.motoqar.com/wp-content/uploads/2022/02/loan-kereta-e1742184761430-218x150.jpg)









