Beli kereta lebihi kemampuan punca penjawat awam terbeban hutang tinggi

9
Tips beli kereta terpakai

Pembelian kenderaan yang tidak sepadan dengan kemampuan pendapatan dikenalpasti antara punca utama penjawat awam berdepan masalah hutang tinggi hingga sukar membuat bayaran balik.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata masalah itu berpunca daripada sikap segelintir penjawat awam yang gemar berbelanja di luar kemampuan dan membuat pinjaman bukan untuk keperluan sebenar.

“Ada yang buat pinjaman peribadi atau guna kad kredit untuk tujuan yang tidak penting. Kadangkala baju sudah ada tapi tetap beli lagi kerana ikutkan nafsu.

“Ada yang beli kereta melebihi kemampuan, sepatutnya cukup pakai kereta biasa saja tapi nak juga kereta mewah. Ini yang jadi isu tidak ukur baju di badan sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, kurang pengetahuan dari segi pengurusan kewangan dan peningkatan kos sara hidup terutama bagi yang bekerja di kawasan bandar juga antara faktor mendorong kepada masalah hutang bagi golongan berkenaan.

Jelasnya, tekanan kewangan yang dihadapi akibat beban hutang itu turut memberi kesan terhadap prestasi kerja dan kesejahteraan mental penjawat awam tersebut.

“Kalau hutang itu dibuat dengan cara betul dan mampu dibayar sebelum tarikh tamat tempoh, itu tidak salah. Tetapi jika asyik tangguh dan dikenakan faedah tinggi, ia akhirnya jadi beban.

“Bila beban bertambah, timbul pula masalah psikologi seperti tekanan, gangguan emosi dan akhirnya menjejaskan integriti. Kadang-kadang sampai boleh menyebabkan seseorang hilang kerja,” ujarnya.

Menurut Abdul Rahman, setiap jabatan perlu memainkan peranan proaktif dengan mengenal pasti pegawai yang berdepan tekanan kewangan dan menawarkan bimbingan sewajarnya.

Tambahnya, pendedahan dan pendidikan berterusan mengenai pengurusan kewangan juga penting supaya penjawat awam tidak terus terjerat dengan hutang dan tekanan ekonomi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here