
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap.
RUU itu diluluskan dengan lebih banyak suara bersetuju selepas dibahaskan 20 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika menggulung perbahasan menjelaskan pemansuhan sistem kadar rata dan Peraturan 78 dibuat kerana ia dianggap tidak adil serta membebankan peminjam.
Katanya, sebagai gantinya kadar faedah efektif dan pengurangan baki akan diperkenalkan bagi memastikan pengiraan ansuran bulanan lebih adil serta telus.
“Rasional pindaan ini ialah untuk memastikan caj faedah tidak memudaratkan peminjam, khususnya mereka yang membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya di Dewan Rakyat.
Armizan berkata penggunaan kadar faedah efektif dapat meningkatkan ketelusan dalam penilaian dan pemasaran pinjaman sewa beli, sekali gus membolehkan pengguna membuat perbandingan pakej pinjaman dengan lebih tepat.
Beliau berkata kaedah pengurangan baki pula memastikan kadar faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman yang belum dijelaskan, berbeza dengan kaedah lama yang lebih menumpukan pembayaran faedah pada peringkat awal pinjaman.
“Pendekatan ini memanfaatkan pengguna dengan membolehkan mereka membandingkan kos sebenar pelbagai produk pinjaman, merancang kewangan dengan lebih baik serta mengenalpasti kos tersembunyi termasuk faedah terkompaun,” katanya.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Armizan berkata selain memansuhkan kaedah kadar faedah sama rata dan Peraturan 78, pindaan itu membenarkan penggunaan teknologi semasa dalam pelaksanaan serta pengemaskinian perjanjian sewa beli.
Selain itu, beliau berkata RUU itu mencadangkan pindaan Seksyen 6B berhubung penerimagunaan kaedah baharu bagi pengiraan caj terma, bertujuan mengadakan peruntukan tempoh masa bagi tuan punya memberitahu penyewa mengenai perubahan kepada kewajipan kewangan penyewa berikutan sebarang penyemakan kadar faedah efektif.