
20 tahun yang lepas, Ducati pertama kali memperlihatkan model konsep Hypermotard sebelum ia direalisasikan sebagai Hypermotard 1100 pada tahun 2007.
Kini, Ducati membawakan Hypermotard serba baharu yang menampilkan beberapa perubahan besar jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Untuk model tahun 2026, Hypermotard kini dibekalkan dengan enjin V2 mengikut jejak langkah model Panigale V2, Streetfighter V2, dan juga Multistrada V2.
Nadi 890 cc itu kini menghasilkan 120.4 hp pada 10,750 rpm dan tork 93.6 Nm pada 8,250 rpm, dengan 70 peratus tork tersedia bermula 3,000 rpm lagi.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear enam-kelajuan dan bantuan quickshifter.
Secara standard, Hypermotard mendapat tetapan suspensi fork Kayaba 46 mm, brek Brembo M4.32 Monoblock dan rim aloi enam jejari.
Sementara model SP pula mendapat tetapan fork 48 mm Ohlins NIX 30 di depan dan penyerap STX 46 di belakang, sistem brek Brembo M50 Monoblocks, serta rim aloi tempa lima jejari yang lebih ringan.
Ciri kelengkapan elektronik pula termasuklah sistem pengukuran inersia (IMU) enam paksi, cornering ABS, kawalan cengkaman, kawalan wheelie, kawalan angkat roda belakang, kawalan brek enjin, launch control, dan mod tunggangan (Race, Road, Sport, Wet).

































