
KTM dan rumah penala terkenal Brabus telah bekerjasama menghasilkan beberapa model binaan eksklusif menggunakan asas daripada 1290 Super Duke R sejak 2022 lagi.
Kini, kedua-dua pihak tampil dengan sebuah lagi model binaan terhad, digelar sebagai Brabus 1400 R.
Model ini dibina berdasarkan KTM 1390 Super Duke R di mana hanya ada 100 unit sahaja yang akan diproduksikan untuk pasaran global.
Hasil kerja badan jentera ini telah direka semula menggunakan konsep Widestar yang lebar sebelum diakhiri dengan kemasan gentian karbon berkilat.
Ia turut menampilkan unit lampu utama menegak yang agak unik. dengan DRL yang diinspirasikan daripada kereta-kereta Brabus.
Antara ciri lain yang ada pada Brabus 1400 R ini termasuklah:
- tempat duduk tunggal balutan kulit/Dinamica
- winglet gaya MotoGP
- rim Brabus Monoblock II Evo Platinum tiga jejari
- brek Brembo Hypure
- suspensi semi-aktif WP Apex kawalan elektronik
- sistem cornering ABS dan Supermoto ABS Bosch
Brabus 1400 R ini dikuasakan oleh enjin 1,350 cc KTM yang mampu menghasilkan 190 hp dan 145 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa tiga saat sahaja.
Terdapat lima mod tunggangan iaitu Street, Sport, Rain, Performance dan Track yang boleh dipilih menerusi skrin paparan TFT yang lengkap dengan grafik eksklusif Brabus.

































