Tembakan terpaksa dilepaskan – Ketua Polis Kedah

500

Tindakan dua lelaki bermotosikal yang menghimpit anggota polis trafik yang mengejar mereka di kawasan Jalan Lencong Timur, di Alor Setar, Rabu lalu menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, dalam kejadian itu mereka yang menaiki motosikal Modenas melanggar persimpangan lampu isyarat di Taman Pelangi menyebabkan anggota trafik yang berada di lokasi mengejarnya.

“Siasatan awal kami mendapati, kedua-dua lelaki itu enggan mematuhi arahan polis untuk berhenti sebaliknya terus menunggang motosikal mereka dengan cara berbahaya sertmelanggar beberapa persimpangan lampu isyarat.

“Dalam usaha lelaki berkenaan untuk melepaskan diri, mereka turut menghimpit secara berbahaya motosikal yang ditunggang oleh anggota trafik itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, menyedari tindakan berbahaya yang dilakukan oleh lelaki berkenaan, anggota trafik terbabit kemudian melepaskan satu das tembakan yang disasarkan ke arah tayar motosikal dengan tujuan untuk menghentikan kenderaan mereka.

“Tindakan berkenaan terpaksa diambil memandangkan tindak tanduk lelaki berkenaan amat mencurigakan.

“Malah, tindakan lelaki itu juga mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada anggota trafik itu tetapi kepada orang awam lain,” katanya.

Beliau berkata, namun tembakan terpaksa dilepaskan mengenai lengan kiri pembonceng motosikal itu.

“Satu siasatan terperinci berkaitan kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Malah, kami memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya,” katanya.

Komen anda mungkin membantu