Kedah Motorsport Day 2019: Meriah baq hang!

3839

Dengan kehadiran pengunjung dan peserta pertandingan hampir seramai 15,000 orang, telah menggamatkan suasana di Bandaraya Alor Setar untuk Kedah Motorsport Day 2019.

Acara anjuran bersama oleh Gabungan Pelajar Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah, Kerajaan Negeri Kedah dan Triple Empire Entertainment & Event Management ini diadakan selama 4 hari berturut-turut dari 29 Ogos hingga 1 September 2019 lepas.



Lebih menambahkan kemeriahan suasana ialah dengan deruman enjin daripada jentera masing-masing yang memasuki medan acara di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah.

Pada hari pertandingan auto show dan audio show sekali lagi telah mencetuskan fenomena di luar jangkaan, apabila sambutan yang diterima amat menggalakkan. Pertandingan auto show dan audio show ini telah dihoskan oleh pasukan Fikri Bin Ahmad Rusli atau lebih dikenali sebagai Kiki Lala Motorsport.

Irama dari setiap jentera memacu adrenalin pengunjung yang hadir untuk terus leka sehingga ke akhir pertandingan. Seramai hampir 700 penyertaan yang bertanding. Acara auto show dan audio show ini ditaja khas oleh Prince Lubricants.

Seterusnya, masa untuk pertandingan motorshow dan persembahan drift pula. Persembahan drift itu dikendalikan oleh drifter terkenal yang lebih dikenali sebagai Mael Shawn Lambung.

Untuk memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung, turut disertakan juga sukan permotoran gaya baharu iaitu trike drift yang juga turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Acara ini dikendalikan oleh pasukan Muhammad Majid, anak muda yang membawa acara permotoran gaya baharu ini ke acara Kedah Motorsport Day 2019.

Semestinya setiap acara akan diserikan dengan persembahan nyanyian daripada artis tempatan. Antara artis yang membuat persembahan adalah Wahab Golok, Zack daripada kumpulan Massa, Harry Khalifah dan Ulat Bulu Man.

Turut diadakan ialah pertandingan nyanyian yang dikendalikan oleh pasukan Voice of Kedah, diketuai oleh Mike Pharrell.

Sempena sambutan kemerdekaan ke 62 tahun artis-artis ini bergabung menyanyikan lagu-lagu kemerdekaan yang membangkitkan semangat patriotisme di kalangan pengunjung.

Tidak ketinggalan ialah acara cabutan bertuah. Barangan daripada pihak penaja utama iaitu Prince Lubricants dijadikan sebagai hadiah kepada pemenang-pemenang cabutan bertuah dan pemenang untuk acara yang dipertandingkan.

Kedah Motorsport Day 2019 mendapat sokongan kuat daripada empat exco negeri iaitu YB Firdaus Bin Ahmad, YB Datuk Dr Ismail bin Salleh, YB Asmirul dan YB Tan Kuok Yew.

Kedah Motorsport Day 2019 menyatukan peminat-peminat sukan permotoran di seluruh negara dan mencipta jaringan baru demi memajukan sukan untuk negara.

Terbaik baq hang!

Ulasan asal oleh: Ummi Hakim Bt Hamzah

Foto oleh: Raziman SiPico, Kikie Lala Motorsport dan Art Photography

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here