FoodPanda teruskan penghantaran, pekerja berhenti mogok

1951

Pekerja penghantar makanan FoodPanda di Negeri Sembilan akan meneruskan penghantaran makanan dan menerima pesanan seperti biasa hari ini, selepas tiga hari mengadakan mogok.

Ini berikutan janji syarikat perkhidmatan penghantaran makanan itu yang mahu melihat semula pelaksanaan skim baharu selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.



Penghantar sepenuh masa, Mohamad Faiz Mohd Padzim, 20, berkata, mogok dihentikan hari ini dan ‘rider’ di negeri ini bersepakat untuk menghantar makanan seperti biasa.

“Malam tadi malam ketiga kami melakukan mogok yang mana kami enggan mengambil pesanan walaupun dalam waktu bekerja. Bagaimanapun, esok (hari ini) kami akan masuk kerja seperti biasa dan memberi kelonggaran dengan mengambil pesanan.

“Ini kerana saya dapat mendapat makluman pihak syarikat akan menimbangkan semula pelaksanaan skim gaji baru selepas berjumpa dengan Syed Saddiq,” katanya ketika ditemui di Seremban 2.

Kira-kira 50 pekerja penghantar FoodPanda mengadakan mogok malam tadi yang masuk hari ketiga di dataran berkenaan sebagai tanda protes terhadap tawaran skim gaji oleh FoodPanda.

Tambah Mohamad Faiz, ‘rider’ FoodPanda bukan pekerja syarikat itu sepenuhnya dan tidak terikat dengan dasar syarikat itu.

“Kami bukan pekerja syarikat FoodPanda dan mereka tidak boleh membuat keputusan sesuka hati. Ketika mahu menjadi ‘rider’ FoodPanda kami perlu membayar deposit untuk mendapatkan baju dan beg selain menandatangani perjanjian mengenai syarat dan gaji.

“Jadi syarikat kena hormati persetujuan yang pernah kami tanda tangan dulu dan mereka tidak boleh ubahnya tanpa persetujuan kami. Ramai yang kata kami tidak berhak untuk bersuara sedangkan perkara ini sudah dipersetujui,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here