Hamilton dan Bottas rai kejuaraan pengeluar F1 ke-6 bersama Petronas

2162

Petronas meraikan kemenangan Kejuaraan Pengeluar Dunia Formula Satu FIA hari ini di KLCC dengan kehadiran tetamu istimewa. Siapa lagi kalau bukan pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas Motorsport iaitu Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.

Dengan kemenangan keenam ini juga menjadikan pasukan itu yang pertama memenangi kejuaraan dunia enam kali berturut-turut dalam sejarah sukan itu.



Pasukan Silver Arrows ini merangkul kejuaraan pengeluar di GP Jepun dimana Bottas memenangi perlumbaan itu. Hamilton pula menjadi pemandu F1 kedua paling berjaya dalam sejarah di GP Amerika Syarikat.

Kedua-dua pemandu itu meraikan kejayaan bersama kakitangan Petronas di KLCC dan mengucapkan penghargaan di atas sumbangan mereka.

Hamilton berkata: “Sudah menjadi tradisi Petronas menjemput kami ke ibupejabat mereka di sini untuk meraikan kejuaraan bersama.

“Kejayaan ini adalah hasil dari semua keluarga Mercedes-AMG Petronas Motorsport. Terima kasih kepada Petronas di atas sokongan anda selama 10 tahun ini. Kami akan terus berusaha di musim depan untuk terus berjaya.”

Semenjak pengenalan enjin hibrid pada 2014, Petronas melalui Fluid Technology Solutions memacu Mercedes untuk enam kejuaraan berganda.

Dalam 10 musim dari kerjasama ini, mereka memenangi 92 perlumbaan Grand Prix dari 196 yang disertai. Mereka juga memperoleh 10 kedudukan pole position dan memenangi 193 trofi.

Bottas pula berkata: “Ini merupakan musim terbaik saya dalam Formula 1 setakat ini dan saya berterima kasih di atas semua kerja keras yang dilakukan.

“Kereta kami sangat hebat pada 2019 dan sumbangan Petronas adalah kunci utama. Bahan api dan pelincirnya adalah darah kepada jentera kami.”

“Saya tahu ia bukan sahaja hasil kerja rakan kami di Brackley dan Brixworth yang sudahpun bekerja untuk lebih kejayaan tahun depan, tetapi juga rakan kami di Petronas sini yang akan memberi lebih kuasa kepada kereta 2020 kami.”

Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, memenangi kejuaraan pengeluar enam kali berturut-turut menunjukkan kejayaan bersama rakan kongsi teknikal kami, Mercedes-AMG Petronas Motorsport.

Prinsipal dan CEO Mercedes-AMG Petronas Motorsport, Toto Wolff menambah: “Petronas telah menjadi rakan kongsi kami sejak dari mula. Mereka bersama kami untuk setiap keadaan, sejak kami kembali ke F1 pada 2010.

“Kami tidak menyangka kejayaan sebegini boleh dikecapi. Tetapi kami mencatat kejayaan dalam sejarah Formula Satu bersama. Pasukan ini yang pertama memenangi kejuaraan dunia enam kali berturut-turut.”

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here