Black kini tauke bengkel cat kereta

3677

Selepas hampir 10 tahun terbabit dalam industri muzik, Black kini mengembangkan sayap dalam bidang perniagaan sebagai jaminan masa depan.

Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah berkata, dia kini mengusahakan bengkel mengecat kereta.



Menurutnya, permintaan yang tinggi mendorongnya untuk mengusahakan perniagaan yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam itu sejak awal Oktober lalu.

Black berkata, dia tidak menyangka menerima permintaan tinggi daripada peminat dan orang ramai. Selain itu, dia juga mengambil perkhidmatan membaiki kereta yang terbabit kemalangan.

“Saya menerima maklum balas yang sangat baik apabila hampir setiap hari ada saja yang menghubungi untuk mengecat dan mengetuk kereta. Namun saya mengehadkan jumlah kereta dalam satu masa kerana mahu menjaga kualiti.

“Lagipun pekerja yang diambil dari Sabah masih dalam tempoh untuk menyesuaikan diri. Setakat ini saya mempunyai empat pekerja dan beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu. Saya tak sangka apabila awal pembukaan bengkel Nyawa Black Body & Paint Works ini, saya menerima hampir 30 kereta yang mahu menukar cat,” katanya.

Menurut Black, antara sebab utama dia terfikir untuk mengusahakan perniagaan bengkel cat kereta kerana dia antara yang gemar menukar warna kereta.

“Sejak dulu saya minat dengan kereta dan motosikal. Ada beberapa kereta yang saya cat dua kali dalam setahun.

“Disebabkan sering menukar warna kereta, ada kawan yang memperli mengapa saya tidak buka saja bengkel cat kereta. Kata-kata itu membuatkan saya dapat idea usahakan perniagaan ini.

“Lagipun dengan pembukaan bengkel ini isteri saya boleh uruskan perniagaan ini. Tidaklah dia sunyi di rumah dan tidak buat apa-apa ketika saya keluar bekerja,” katanya.

Menurut Black, bermodalkan RM50,000 dia percaya perniagaan ini antara aset yang akan menjadi simpanan buat dirinya pada masa depan.

“Kalau saya tiada satu hari nanti, siapa nak jaga isteri dan anak-anak saya? Perkara itu sering menjadi persoalan membuatkan saya nekad mengusahakan perniagaan ini.

“Saya pejam mata dan usahakan perniagaan ini untuk masa depan orang rumah dan anak-anak. Antara sebab lain juga, saya dapat memberi peluang kepada isteri untuk bekerja dan membahagiakan keluarganya dengan bisnes yang diusahakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Black baru-baru ini tampil menghiburkan 200 tetamu pada majlis ramah mesra bersama peminat di Summit Hotel KL City Centre yang turut menawarkan tempahan istimewa bagi lokasi perkahwinan.

Hadir sama Pengarah Urusan Wedding Studio Sdn Bhd, Habibah Sharif.

Black berkata, dia dan Habibah adalah teman rapat dan sering bekerjasama dalam sebarang majlis yang dilakukan.

“Baru-baru ini ketika majlis akikah anak kedua saya, Habibah antara orang kuat yang membantu menyediakan kelengkapan pada acara itu. Kami sudah lama berkawan membuatkan saya tidak berkira untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengannya seperti majlis yang diadakan ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here