Singapura akan tahan pemandu kenderaan e-hailing dari Johor

1687

Pemandu yang ditangkap menyediakan perkhidmatan perkongsian kenderaan secara berbayar (e-hailing) antara Singapura dan Johor tanpa lesen kenderaan perkhidmatan awam yang sah (PSVL) boleh dipenjara dan didenda, menurut laporan CNA hari ini.

perkhidmatan perkongsian kenderaan

Memetik Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, portal berita itu melaporkan pihak berkuasa memandang serius kenderaan dengan pendaftaran luar yang menyediakan perkhidmatan itu secara tidak sah.



LTA menjawab pertanyaan CNA mengenai pelancaran Sameride – aplikasi mudah alih yang menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan antara Johor dan Singapura.

Laporan itu menyebut LTA akan mengambil “tindakan penguatkuasaan tegas” terhadap aktiviti haram itu.

LTA dilapor menjelaskan kenderaan dengan pendaftaran luar tidak dibenar menyediakan perkhidmatan pengangkutan penumpang rentas sempadan berbayar di Singapura tanpa PSVL.

“Mana-mana orang yang ditangkap menyediakan perkhidmatan menyewa, termasuk perkhidmatan perkongsian kenderaan rentas sempadan tanpa PSVL sah boleh didenda sehingga S$3,000 (RM9138), dipenjarakan sehingga 6 bulan atau kedua-duanya.
Kenderaan yang digunakan juga boleh dirampas,” kata jurucakap LTA.

Menurut portal itu, pihak berkuasa menggesa orang ramai tidak menggunakan perkhidmatan itu yang disediakan pemandu kenderaan tidak berlesen. Ini kerana ia mungkin tidak diinsuranskan dengan liabiliti pihak ketiga.

“Penumpang kenderaan tersebut mungkin tidak berhak mendapat perlindungan insurans sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menggunakan kenderaan tersebut,” kata jurucakap itu.

Di laman webnya, Sameride menjangkakan aplikasinya akan beroperasi sepenuhnya untuk mereka yang berulang-alik Johor-Singapura bermula 30 Dis ini.

Ia menyatakan dalam tempoh 2 minggu lepas, hampir 300 penumpang Johor-Singapura membuat pendaftaran awal di aplikasinya.

Sameride menganggarkan pengguna yang berulang-alik antara Johor dan Singapura dapat mengurangkan kos perjalanan mereka sehingga 50% berbanding perkhidmatan teksi.

Menurut Sameride, kesan jangka panjang bagi pengguna laluan Johor-Singapura itu ialah pengurangan trafik di tambak Johor dan Singapura.

Laluan pertama diwujudkan Sameride pada 2016 di Washington, DC Metro Area yang menyediakan perkhidmatan penumpang AS antara Woodbridge, VA dan Tysons Corner, VA.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here