Enjin Proton yang dilupai

6119

Selepas lebih setahun DRB-Hicom Bhd menandatangani perjanjian dengan Zhejiang Geely Holdings Group yang menyaksikan Geely memperoleh 49.9 peratus saham Proton, rakyat Malaysia menyaksikan pelancaran model pertama dari perjanjian itu, Proton X70.

Proton X70 juga merupakan SUV pertama memakai lencana Proton. Ia mendapat sambutan memberangsangkan setakat ini.



Proton juga dikatakan dalam persediaan untuk memasang X70 di kilangnya di Tanjung Malim dan bakal memperkenalkan SUV lebih kecil iaitu X50. Ini dikukuhkan dengan imej-imej intipan serta pembelian tanda dagangan nama “X50” oleh Proton.

Namun jika anda undur sedikit masa beberapa tahun ke belakang – lebih tepat lagi tahun 2016 – Proton pernah menjalankan satu projek enjin baharu.

Projek yang dijalankan dengan Ricardo iaitu sebuah firma pembuat enjin dari UK itu bertujuan menghasilkan barisan enjin moden yang mampu mematuhi piawaian ketat Kesatuan Eropah.

Imej; Harian Metro

Ini bermakna enjin-enjin ini sangat efisyen dengan penggunaan bahan api rendah, penghasilan output kuasa mantap serta mempunyai kadar pelepasan emisi yang rendah.

Barisan enjin yang bakal dihasilkan adalah:

  • 1.0-liter 3 silinder VVT (Variable Valve Timing)
  • 1.2-liter 3 silinder VVT
  • 1.3-liter 4 silinder GDI (Gasoline Direct Injection)
  • 1.5-liter 4 silinder GDI
  • 1.3-liter 4 silinder TGDI (Turbocharged Gasoline Direct Injection)
  • 1.5-liter 4 silinder TGDI

Enjin suntikan terus (direct injection) ialah teknologi suntikan bahan bakar secara terus ke dalam kebuk pembakaran. Ini bermakna muncung penyuntik boleh diletakkan di atas kebuk pembakaran antara kedudukan injap atau tepi kepala silinder di mana ia menghasilkan pembakaran yang lebih lengkap dengan jumlah bahan bakar yang sedikit.

Imej: Harian Metro

Dengan kata lain, enjin-enjin ini mampu bekerja dengan menggunakan bahan api yang rendah tanpaa berkompromi dengan kuasa dan prestasi.

Jimat Minyak

Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan Kejuruteraan Proton Abdul Rashid Musa berkata, “Apa yang penting, rangkaian kuasa enjin baharu ini mampu mengurangkan tahap penggunaan bahan api sehingga kurang lima liter bagi setiap 100 kilometer serta padanan silinder nyahaktif dengan fungsi mula/henti (start/ stop) enjin iaitu enjin akan berhenti seketika ketika dilampu isyarat dan bergerak semula apabila brek dilepaskan.

“Ia juga mengurangkan tahap pelepasan emisi sehingga 99gram/km yang mematuhi perundangan yang bakal dilaksanakan selepas 2020,” katanya.

Sebagi rekod, Ricardo sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan pengeluar automotif gergasi seperti Toyota, BMW, Ford, Jaguar dan Land Rover. Malah, enjin supercar McLaren turut dihasilkan oleh firma ini.

Empat enjin TGDI tersebut sepatutnya berada dalam pasaran pada 2017 dan mampu mematuhi piawaian Euro 6C apabila ia dilaksanakan pada 2020.

Kerjasama bersama Geely

Namun dengan kerjasama bersama Geely, Proton bukan sahaja mempunyai akses kepada kepakaran rekabentuk dan teknologi pembuatan, kerana Geely turut mempunyai saham dalam gergasi automotif seperti Volvo dan Lynk & Co.

Proton juga mempunyai akses kepada rangkaian powertrain iaitu enjin, transmisi dan sistem pacuan. Proton X70 dipacu oleh enjin 1.8-liter TGDI dari Geely dan transmisi automatik enam kelajuan.

Imej: The Ajerul

Bagi SUV lebih kecil atau crossover X50 akan datang juga, salah satu pilihan enjinnya adalah 1.5-liter turbo dari Volvo.

Perkongsian teknologi sesama anak syarikat dalam kumpulan besar sebegini bukanlah perkara yang baru dilakukan.

Lamborghini R8 V10 Plus yang menggunakan enjin dari Audi. Imej: Motor1

Audi dan Lamborghini berkongsi enjin dan pelantar, dan begitu juga Porsche Cayenne, Volkswagen Touareg dan Audi Q7 yang mempunyai persamaan beberapa komponen utama. Ini kerana kesemua jenama ini berada di bawah satu payung iaitu Volkswagen Group.

Apa Status Enjin TGDI

Jadi semua ini membawa kita kepada persoalan, apakah status terkini projek enjin TGDI dengan Ricardo itu. Sehingga kini, Proton belum memberi jawapan jelas berkenaan status ini.

Namun jelas, Geely mempunyai cukup rangkaian enjin untuk model seperti SUV dan sedan pelbagai saiz yang boleh dimanfaatkan oleh Proton.

Adakah enjin GDI dan TGDI Proton akan terus menjadi enjin yang dilupakan? Sama-sama kita lihat. Bagi Motoqar, kami sentiasa positif jika Proton mampu mempunyai enjin cekap dan berkuasa. Ibarat pepatah komen di internet, “enjin laju bak R35, jimat bak Axia”.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here