Selepas 40 tahun, kilang Proton Shah Alam rasmi tutup

4362

Proton rasmi memindahkan sepenuhnya semua operasi pemasangan ke Tanjong Malim, menandakan permulaan era baharu bagi syarikat dan industri automotif negara.

Selepas hampir empat dekad menjadi peneraju industri automotif tempatan di kilang Shah Alam, seramai 1,400 kakitangan pengeluaran terakhir kini berpindah ke Proton Tanjong Malim yang terletak di Automotive High-Tech Valley (AHTV), Perak.

Kilang Shah Alam mengeluarkan unit terakhir Proton Saga pada 30 September lalu dan pemasangan Saga diteruskan di Tanjong Malim bersama model Persona, siri SUV X, dan S70.

Sempena pemindahan berkenaan, Proton menganjurkan majlis sambutan khas 1,400 pekerja di kilang Tanjong Malim.

Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Ainol Azmil berkata ia merupakan satu detik bersejarah apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim.

“Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama ini, Proton kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menjadikan kilang ini sebagai hab utama untuk generasi baharu kenderaan nasional negara,” ujarnya.

Kilang Proton di Tanjung Malim

Kemudahan di Tanjong Malim merangkumi lima bahagian pengeluaran utama iaitu pemesinan enjin dan transmisi, stamping, pemasangan badan, cat, serta pemasangan akhir.

Berlandaskan prinsip Industri 4.0, Proton Tanjong Malim dilengkapi dengan mesin tekan mekanikal terbesar di Malaysia serta barisan pemasangan enjin baharu, satu-satunya di luar China yang menghasilkan enjin 1.5 TGDi.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 250,000 unit setahun, kilang Tanjong Malim menjadi hab utama eksport pemanduan sebelah kanan bagi Kumpulan Geely di rantau Asia Tenggara, selain pemasangan kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia. 

FAKTA RINGKAS KEMUDAHAN PROTON SHAH ALAM

  • Beroperasi sejak 1985, kilang Proton Shah Alam telah menjadi nadi kepada lahirnya industri automotif Malaysia.
  • Kilang berkenaan berkeluasan 83.48 hektar dengan pelaburan kira-kira RM370 juta.
  • Ia menempatkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) automotif pertama negara, lengkap dengan kemudahan ujian menyeluruh serta trek ujian separa kelajuan tinggi yang memacu keupayaan jurutera tempatan.
  • Sepanjang tempoh operasi, kilang tersebut telah menghasilkan lebih daripada 4 juta kenderaan, termasuk model ikonik seperti Saga, Wira, Perdana dan Exora. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here