10 teknik pemanduan defensif yang perlu anda tahu

5495

Pemandu terbaik bukanlah yang sudah memandu 20 tahun, yang memandu laju, yang pernah memandu sehingga 240km/j, tetapi pemandu yang terbaik ialah pemandu yang selamat.

“Eh tapi kan bro, pemandu F1 tu terbaik kan, dia bawak laju je,” kata Mamat yang sedang memandu memegang stereng satu tangan ala Toretto dalam Fast and Furious.

Mamat

Bro, pertamanya F1 itu kereta dan pemandunya di tahap lain. Keduanya, pemandu F1 pun utamakan keselamatan, barulah dia dapat menjadi laju. Bukannya laju dahulu baru selamat.



Imej: WTF1

Topik keselamatan boleh membuatkan anda menguap dan pangkah artikel ini untuk baca benda lain. Tetapi percayalah, banyak aspek keselamatan pemanduan yang ramai pemandu kita tidak tahu.

Kenyataan ini disokong oleh statistik kemalangan jalanraya kita yang merupakan antara tertinggi di dunia. Jadi kami kongsikan senarai pemanduan defensif yang wajib anda tahu sebagai pemandu:

  1. Sentiasa pastikan kenderaan dalam keadaan baik

Imej: Road Safety UAE

Teknik pemanduan defensif bermula sebelum anda memandu lagi. Memastikan kenderaan anda dalam keadaan baik bukan sahaja memastikan anda sampai ke destinasi dengan selamat, malah memanjangkan jangka hayat kereta anda dan komponennya.

  1. Duduk dengan posisi betul dan sentiasa memakai tali pinggang keledar

Imej: Lilliput Health

Kedudukan optima pemanduan ialah sedikit dekat dengan stereng seperti pemandu lumba, walaupun anda bukan hendak berlumba. Dan ya, bukan duduk jauh ke belakang seperti anda sedang berehat di pulau percutian. Kedudukan jauh ke belakang cenderung buatkan anda mengantuk kerana terbayang sedang bercuti.

Untuk mengetahui sama ada anda telah duduk dengan betul, periksa sama ada anda mampu capai semua butang kawalan di papan pemuka tanpa perlu bangun dari penyandar. Jika tidak sampai, maka anda duduk terlalu jauh.

Duduk dengan posisi optima juga membantu anda mempunyai kawalan sepenuhnya pada setiap masa, terutamanya di situasi kecemasan. Dan tali pinggang keledar itu, pakai je lah sebagai ikhtiar kita. Jangan guna ayat “ajal maut semua di tangan tuhan” pula.

  1. Sentiasa jaga jarak selamat

Imej: ResearchGate

Perkara ini telah diajar di sekolah memandu, tetapi ramai yang sudah terlupa atau sengaja melupakan. Tetapi pemandu yang baik mampu mengagak jarak selamat untuk dia memberhentikan kenderaan dalam apa jua situasi.

Ini bermakna mengawal kelajuan berdasarkan situasi jalan, kemampuan kenderaan dan kelajuan kenderaan berbanding trafik sekeliling. Perkara ini lebih kritikal di jalan licin dan selekoh buta (blind corner).

  1. Sentiasa fokus

Imej: Dryve

Fokus bukanlah bermaksud anda perlu memandu semata-mata. Sudah tentu anda boleh melihat keadaan sekeliling untuk lebih selamat ketika memandu.

Tetapi fokus di sini bermaksud kurangkan perkara lain yang menggangu tumpuan anda seperti muzik terlalu kuat, anak-anak di belakang atau perbualan hangat anda dengan pasangan. Perkara-perkara ini mungkin buatkan anda tidak sedar kereta di depan brek mengejut.

  1. Jangka pemandu lain buat kesilapan

Imej: Deadline News

Jangan ingat semua pemandu lain hebat dan tidak akan buat silap. Sentiasa jangkakan yang mereka mungkin tersasar lorong di depan anda atau mungkin brek mengejut di saat akhir untuk masuk simpang tanpa beri isyarat (signal) terlebih dahulu.

  1. Sentiasa cari escape route (jalan keluar)

Imej: CARmag

Ketika di dalam trafik mahupun memandu di jalan persekutuan luar bandar, sentiasa pastikan anda mempunyai escape route jika berlaku kecemasan. Sebagai contoh jika pokok tumbang di atas jalan, anda mempunyai ruang untuk mengelak dengan selamat.

  1. Elak berada dalam titik buta dari pemandu lain

Imej: Driver’s Ed Guru

Sebagai pemandu, anda pasti tahu di mana titik buta anda dan akan memeriksa cermin sisi beberapa kali sebelum menukar lorong.

Dan anda sebagai pemandu yang hebat juga haruslah pastikan anda dilihat oleh pemandu lain. Jadi jika memandu di lebuhraya, elakkan memandu bersebalahan kenderaan lain terlalu lama.

Sama ada anda dipotong, atau memotong.

  1. Sesuaikan keadaan bila hujan

Imej: NRICafe

Ini berkait sedikit dengan nombor 3 tadi. Sesuaikan keadaan bila hujan terutama dari aspek jarak pemanduan dan penglihatan.

Jarak untuk berhenti bertambah apabila jalan licin, jadi anda perlu beri lebih jarak dengan kenderaan di depan. Begitu juga kelajuan di selekoh kerana kadar cengkaman berkurang. Dan jika anda sukar hendak melihat kenderaan lain, begitu juga pemandu lain sukar melihat anda. Jadi, nyalakan lampu.

Kemampuan untuk mengesan hydroplaning dan menghadapinya juga merupakan satu kelebihan.

  1. Elakkan road rage

Imej: Pacific Standard

Jika anda rasa anda berhak jalan dulu, tetapi pemandu itu seperti tidak setuju, mengalah sahaja. Anda mungkin rugi sedikit ego dan masa beberapa saat, namun anda tidak perlu libatkan diri dengan konfrontasi dan mungkin kerugian wang ringgit jika berlaku perlanggaran.

Biar pihak berkuasa sahaja yang membalas perlakuan pemandu acah gangster ini.

  1. Lihat jauh ke depan

Imej: Youtube

Mata memainkan peranan penting dalam memandu. Kebolehan melihat jauh ke depan memberikan anda kelebihan untuk bertindak sebelum situasi itu sampai kepada anda.

Gunakan cermin kereta depan untuk melihat apa di depan kereta itu seperti kemalangan, menghampiri persimpangan atau sebarang halangan.

Kesemua ini hanyalah sebahagian sahaja dari berpuluh lagi teknik pemanduan defensif yang boleh anda praktikkan. Teknik-teknik ini tidak sempat diajar di sekolah memandu namun sangat penting. Iya lah, jika semua ini perlu dikuasai semasa ujian memandu, rasanya berapa kerat je kereta di atas jalanraya.

Selamat mencuba. Nampak seperti meletihkan, namun jika sudah biasa, ia sangat bersahaja. Makan pun meletihkan sebenarnya, namun anda dah biasa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here