Super GT kembali ke Malaysia, tawar hadiah Toyota GR Supra!

1461

Anda masih ingat Super GT di Sepang dulu? Dengan kereta-kereta perlumbaan Jepun dan gadis-gadis litar yang menyerikan suasana.

Kali ini setelah 6 tahun menghilang, perlumbaan Super GT akan kembali ke Malaysia dan akan menjadi perlumbaan GT malam yang pertama di dunia.



Super GT Malaysia Festival 2020 ialah satu di antara dua perlumbaan di luar Jepun dan akan menjadi Pusingan 5 untuk 2020 Autobacs Super GT Series.

Acara perlumbaan berprestij ini juga akan menjadi acara utama dalam kalendar Visit Malaysia 2020 dan dijangka menarik minat pengunjung.

Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Super GT yang pertama diadakan di luar Jepun pada 2000 dan 2001, sebelum menjadi tuan rumah rasmi dengan perlumbaan kejuaraan penuh pada 2002.

Negara ini terus menganjurkan Super GT pusingan luar negara hingga 2013.

Tidak seperti perlumbaan bermotor lain, Super GT dianjurkan seperti suatu pesta dimana peminat dapat mendekati pemandu, pasukan dan kereta kegemaran mereka.

Sudah tentu, tarikan lain Super GT ialah Race Queens atau ratu litar yang bukan sahaja menyerikan suasana acara, malah menghubungkan pasukan dan peminat, terutamanya semasa sesi pit terbuka, grid walk, safari litar dan di pentas aktiviti.

Pasukan Malaysia

Turut diumumkan ialah dua pemandu Malaysia – Jazeman Jaafar dan Dato’ Adrian Da Silva – yang akan berganding bahu memandu Porsche GT3 R untuk berentap dalam kelas GT300.

Siri 2020 Autobacs Super GT Series akan bermula pada April ini di Okayama International Circuit, sebelum pergi ke Fuji Speedway dan Suzuka Circuit pada Mei.

Dua perlumbaan luar negara untuk Super GT akan diadakan pada Julai nanti di Thailand (Chang International Circuit di Buriram), dan Malaysia (Litar Antarabangsa Sepang) sebelum kembali ke Jepun untuk pusingan ke-6 di Sportsland Sugo.

Pusingan 7 akan bertempat di Autopolis International Racing Course pada Oktober, manakala pusingan akhir di Twin Ring Motegi pada November.

Perlumbaan Super GT akan menggunakan format dua-pemandu dengan jarak pemanduan antara 300km hingga 1,000km, menampilkan dua kelas perlumbaan iaitu GT500 (khas untuk works teams) dan kelas GT300 yang menggunakan downforce jauh lebih rendah.

GT500 akan menggandingkan antara tiga jenama besar Jepun iaitu Toyota, Nissan dan Honda dalam 15 pasukan. Mereka akan menggunakan pilihan tayar Bridgeston, Yokohama, Dunlop dan Michelin.

Sementara itu, kelas GT300 akan menampilkan 30 pasukan terdiri dari Mercedes Benz-AMG, Toyota, BMW, Audi, Porsche, Lamborghini, Nissan, Bentley, Honda, Lotus dan Subaru, dengan tayar Bridgestone, Yokohama and Dunlop tyres.

Tiket

Tiket dijual pada harga bermula RM100 (K1 Grandstand), RM250 (Main Grandstand) dan RM2,000 (GT Club) dan boleh dibeli di www.supergtmalaysia.com.

Walaubagaimanapun, tiket sedang ditawarkan pada harga RM80 (K1 Grandstand) dan RM200 (Main Grandstand) untuk pembeli terawal.

Juga terdapat pakej ekskslusif Dream, Ultimate dan Experience yang memberikan akses kepada hospitaliti paddock, taxi ride, grid walk, pit walk dan circuit safari.

Hadiah Toyota GR Supra untuk dimenangi

Dengan kerjasama bersama UMW Toyota Motor Malaysia – penganjur Toyota Gazoo Racing Festival – semua pemegang tiket Super GT Malaysia Festival 2020 akan berpeluang memenangi dan memandu pulang sebuah Toyota GR Supra baharu dari pertandingan “Predict and Win”.

Sementara itu, dengan kerjasama Art of Speed, Super GT Malaysia 2020 akan menyediakan Auto Expo di kawasan luar yang terbuka menghala ke Grandstand. Pameran ini akan membawakan pelbagai kenderaan kustom dari pelbagai jenama, pakar aftermarket, kelab kereta dan peminat.

Untuk maklumat lanjut, layari www.supergtmalaysia.com.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here