Semua perkhidmatan kaunter agensi Kementerian Pengangkutan ditutup

2298

Semua perkhidmatan kaunter di jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pengangkutan termasuk perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pejabat Pos ditutup mulai hari ini (Jumaat) hingga 31 Mac ini.

Kementerian Pengangkutan

Arahan penutupan perkhidmatan kaunter agensi Kementerian Pengangkutan turut meliputi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak.



Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu dibuat dengan mengambil kira kesihatan awam dan kakitangan di barisan hadapan selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bertujuan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun.

“Oleh yang demikian, semua urusan berkaitan JPJ seperti memperbaharui cukai jalan kenderaan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal mySIKAP AWAM JPJ dan perkhidmatan MYEG di www.myeg.com.my.

“Pada masa sama, semua cawangan JPJ di seluruh negara termasuk aktiviti dan operasi penguatkuasaan akan terus berjalan seperti biasa dengan pengurangan kakitangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, demi menjamin tahap keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan raya.

“Pihak JPJ juga akan memastikan semua anggota yang melaksanakan aktiviti penguatkuasaan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, tiada sebarang peruntukan berhubung larangan pemanduan kenderaan barangan di jalan raya sepanjang tempoh perintah itu berkuat kuasa walaupun Kementerian Kesihatan mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Justeru, katanya, JPJ tidak menguatkuasakan sebarang perintah larangan ke atas pergerakan kenderaan barangan sepanjang tempoh berkenaan.

“Ini kerana JPJ berpandangan bahawa pergerakan kenderaan barangan di atas jalan raya bagi pengangkutan barangan keperluan harian adalah termasuk di dalam perkhidmatan perlu,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here