#Tips: 10 cara mudah dan berkesan hilangkan mengantuk semasa memandu

7283

Memandu sememangnya memerlukan tumpuan bukan sahaja untuk keselamatan diri kita sendiri, malah untuk keselamatan pengguna jalanraya yang lain.

Bayangkan anda mengemudi sebuah ‘besi’ seberat lebih satu tan pada kelajuan 90km/j dan melanggar sesuatu, anda kiralah sendiri berapa momentum dan kerosakan yang akan dihasilkan.

Antara penyebab utama pemandu hilang tumpuan adalah mengantuk. Artikel ini kita akan lihatkan 10 cara mudah dan berkesan untuk kekal segar dan fokus semasa memandu.



1. Memandu di waktu siang

Imej: Doft.com

Perkara pertama ialah pilih waktu memandu sesuai. Sebaiknya, pandulah di waktu siang seperti sebelum tengahari atau sedikit petang.

Jika anda lebih lebih gemar memandu pada waktu malam, pilih waktu awal malam dan elakkan waktu jam 12 tengah malam hingga 6 pagi. Ini kerana waktu ini dikatakan mempunyai potensi tinggi untuk mengantuk.

2. ‘Power nap’ sebelum memandu

Imej: SwissInfo

Tidur sebentar sebelum memandu dapat membantu anda mendapat tenaga diperlukan. Tidak perlu lama sampai berdengkur dan mimpi pun, cukup sekadar ‘power nap’ 15 hingga 20 minit.

3. Kenali simptom mengantuk

Perkara ini agak penting dan tak ramai di antara kita yang mengenali simptom mengantuk. Pasti merbahaya jika anda terlambat sedar bahawa anda mengantuk.

Antara tanda awal anda mengantuk adalah mata terasa berat, mata berkelip lebih laju dan kerap, mula mengelamun dan sukar mengingati saat beberapa kilometer yang lepas. Lenguh-lenguh di belakang badan juga merupakan petanda awal.

Jika anda mula mendapat tanda-tanda ini, cari tempat selamat untuk berhenti secepat mungkin sebelum anda terlelap di stereng.

4. Berhenti rehat jika perlu

Imej: MakanLena

Sebaiknya, anda berhenti rehat setiap 2 jam jika memandu jauh. Tetapi jika anda memerlukan rehat lebih kerap, tiada masalah. Biar lambat asalkan selamat, bukan?

Semasa berhenti juga gunakan waktu itu untuk melakukan sedikit aktiviti regangan badan untuk melancarkan peredaran darah dalam badan.

5. Amalkan gaya pemakanan sihat

Imej: PesonaPengantin

Nampak seperti ayat membosankan, tetapi pemakanan juga sangat mempengaruhi tenaga kita untuk memandu. Sebolehnya makan makanan sihat dan berkhasiat sebelum memulakan perjalanan.

Pastikan anda tidak terlebih makan untuk mengelakkan mengantuk, tetapi jangan pula makan terlalu sedikit. Cukup-cukup sahaja.

6. Minum kopi

Imej: Newcastle Herald

Kopi dan minuman berkafein lain mampu membantu anda kekal celik untuk perjalanan jauh. Jika anda sudah selalu meminum kopi, boleh pesan extra shot untuk lebih ‘umph’ semasa memandu.

7. Makanan masam, kunyah chewing gum

Imej: Sweet and Sour Kiosk

Mempunyai makanan ringan untuk dikunyah semasa memandu juga membantu. Makanan seperti asam-masin akan terus membuat anda berjaga, dan chewing gum (gula-gula getah) yang membuatkan mulut anda mengunyah pasti dapat menghindarkan rasa mengantuk.

8. Radio dan muzik

Imej: WikiHow

Pasanglah radio atau muzik kegemaran untuk menemani anda memandu. Boleh juga ikut menyanyi agar anda tidak mudah terleka dan mengantuk.

Mendengar muzik dengan lebih kuat sedikit dari biasa dikatakan dapat membantu. Tetapi jangan terlalu kuat macam parti pula ya. Nanti anda tak perasan pula bunyi seperti kenderaan kecemasan di luar.

9. Berbual dengan penumpang

Imej: Hergott Law

Penting untuk memilih penumpang yang rajin berbual untuk menemani anda memandu agar tidak mudah mengantuk.

10. Selang-seli pendingin hawa dan udara segar

Imej: CardealPage

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa penting untuk kita selang-selikan antara penggunaan pendingin hawa dan mengambil udara segar dari luar.

Menggunakan pendingin hawa terlalu lama akan mengurangkan kandungan oksigen dalam kabin kereta seterusnya menjadikan kita mengantuk. Ini kerana jelas sekali kita menjadi mengantuk kerana otak kita kekurangan oksigen.

Jadi, mungkin setiap setengah jam anda boleh padamkan pendingin hawa sebentar dan gunakan mod kemasukan udara segar dari luar, mod ini anda boleh pilih/tekan pada panel pendingin hawa.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here