5 ciri unik yang perlu ada pada topi keledar perlumbaan – Jazeman Jaafar

1815

Sukan permotoran merupakan sukan yang sangat berisiko, dimana jika mengikut statistik, sebanyak 25 peratus pelumba profesional terpaksa dimasukkan ke hospital kerana terlibat dalam kemalangan.

ciri topi keledar

Angka tersebut merupakan jumlah yang agak tinggi, jika dibandingkan dengan sukan peringkat antarabangsa yang lain.



Oleh yang demikian, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan kepada topi keledar perlumbaan, bagi mengurangkan kesan kemalangan kepada pelumba. 

Pelumba Malaysia di peringkat antarabangsa, Jazeman Jaafar memberi penerangan tentang lima keunikan dan ciri yang perlu ada pada topi keledar perlumbaan professional.

1. Dihasilkan dari gentian karbon

ciri topi keledar

Selain menjadi lapisan pelindung kepala, fungsi utama topi keledar ialah melindungi kepala dari menerima hentakan secara langsung. Pada masa yang sama, sesebuah topi keledar perlu ringan, supaya penggunanya tidak merasakan beban ketika menggunakannya selama berjam-jam.

Oleh itu, gentian karbon biasanya digunakan kerana ia merupakan bahan yang terkenal dengan ketahanan dan sifatnya yang ringan.

Tambah Jazeman, penggunaan bahan gentian karbon dapat digabungkan dengan bahan yang lain untuk memberikan lapisan pelindung yang lebih kuat.

2. Bahan kalis api

ciri topi keledar

Menurut Jazeman, berbeza dengan tunggangan motosikal, pemanduan kereta memerlukan setiap topi keledar dihasilkan dari bahan kalis api kerana pemandu terpaksa duduk di dalam satu ruang yang terkurung dan sukar untuk keluar.

Bahan kalis api yang terdapat pada lapisan topi keledar biasanya diperbuat dari nilon atau Nomex. Sut pelumba juga biasanya turut dibuat dari bahan kalis api, yang membolehkan pelumba menahan haba dan api yang terhasil dari suatu kemalangan.

3. Visor

ciri topi keledar

Jazeman juga berkata bahawa mekanisma sederhana seperti visor perlu dihasilkan dengan idea dan teknologi yang kompleks, dimana aspek keselamatan menjadi keutamaan. Visor topi keledar perlumbaan biasanya dihasilkan menggunakan polikarbonat kalis api, suatu bahan yang terkenal dengan kualitinya yang tahan lama, tahan pecah dan ringan.

“Kereta yang dikhaskan untuk perlumbaan biasanya dibangunkan dengan pusat graviti yang rendah, yang menjadikan kedudukan pelumba sangat hampir dengan permukaan jalan. Hal ini boleh menyebabkan objek seperti batu menembusi bahagian bawah kereta lumba dan mengakibatkan bahaya kepada pelumba,” jelas Jazeman.

ciri topi keledar

“Oleh sebab itu, binaan visor perlu mempunyai ciri yang disebutkan tadi, dan membolehkan pelumba fokus kepada perlumbaan tanpa terkesan dengan ‘serangan’ bendasing itu tadi.”

Sesetengah visor dilengkapi dengan tint yang secara automatik mampu berubah apabila menerima kadar pencahayaan yang tertentu, malah ada visor yang dilengkapi dengan ciri pemanasan bagi mengelakkan pembentukan kabus terutama di dalam keadaan cuaca buruk.

Salah satu teknik menarik yang diterapkan oleh beberapa pengeluar topi keledar adalah penambahan plastik lutsinar yang boleh dicabut. Ini membolehkan pemandu membuang lapisan yang sudah rosak untuk mendapat penglihatan yang jelas.

4. Ruang kemasukan udara

Ruang kemasukan udara pada topi keledar dihasilkan untuk memberikan aliran udara yang sejuk, bersih dan segar secara berterusan kepada pelumba.

Menurut Jazeman, ruang kemasukan udara ini merupakan satu-satunya cara pelumba mendapatkan aliran udara segar. Oleh itu, pelbagai ubah suai dan kejuruteraan pada reka bentuk topi keledar perlumbaan telah dilakukan untuk menyertakan penapis pada ruang kemasukan udara ini.

Dengan ini, bahan yang berbahaya seperti habuk brek, karbon dan percikan minyak pelincir dapat dihalang daripada memasuki ruang topi keledar.

5. Reka bentuk tersendiri

Perkembangan alat digital canggih seperti Computer-Aided Design (CAD) dan perisian pemodelan 3D telah membolehkan pengeluar topi keledar mengukur dan menghasilkan topi keledar secara digital untuk memastikan kesesuaian yang unik bagi setiap pemandu.

Ini membolehkan pemandu menyesuaikan penampilan dan topi keledar mengikut kehendak peribadi mereka.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here