The Undertaker ucap selamat tinggal kepada WWE, ini 16 kenderaan pernah dimilikinya

5708

“Rest. In. Peace.” Itulah kata-kata terakhir bintang lagenda WWE, The Undertaker saat mengumumkan persaraannya.

Selepas tiga dekad beraksi, The Undertaker mengucapkan selamat tinggal di kemuncak acara WWE Survivor.



Arena WWE Thunderdrome menjadi saksi amanat terakhir bintang berusia 55 tahun apabila beliau mengatakan sudah tiba masanya untuk Undertaker berehat dengan tenang.

The Undertaker atau nama sebenarnya Mark William Calaway menanggalkan jubah dan topinya lalu ditinggalkan di tengah gelanggang.

Sayang sekali upacara itu dilakukan dalam waktu pandemik, menyebabkan penonton hanya mampu menonton secara maya. Jika ia dilakukan secara langsung dengan kehadiran penonton, pasti suasananya lebih bermakna dan mengharukan.

Jadi untuk itu, mari kita lihatkan 16 kereta dan motosikal yang pernah dimiliki The Undertaker, termasuk tiga daripadanya adalah milik Triple H.

1. Harley-Davidson Hearse Funeral Chopper

Undertaker pernah memasuki acara WWE SummerSlam pada 1992 dengan menaiki hearse atau kereta keranda. Jadi untuk meraikan saat itu, dia sendiri memiliki ‘motosikal keranda’ dengan lima tayar ini.

Jentera unik ini walaubagaimanapun telah dimusnahkan oleh Stone Cold Steve Austin.

2. West Coast Custom Chopper

Antara motosikal paling popular milik Undertaker ialah Western Club Chopper ini, yang dibuat khas kustom untuknya dan menelan belanja USD150,000 (RM612,825). Dia dikenali sebagai peminat motosikal, jadi tidak pelik jika dia membelanjakan wang sebesar ini untuk sebuah motosikal kustom.

3. Bentley Continental GT

Bentley merupakan kenderaan paling mahal Undertaker. Ia bukanlah untuk digunakan seharian untuk ke bandar atau gimnasium, tetapi untuk menghadiri acara-acara dan perjumpaan penting.

Bentley Continental GT baharu hari ini berharga sekitar USD220,000 (RM899,000) di Amerika Syarikat, dengan enjin 6.0-liter W12 twin-turbo berkuasa 552hp dan mempunyai kelajuan maksimum melebih 300km/j.

4. Cadillac ATS

Cadillac ATS ialah sedan eksekutif kompak dengan harga permulaan USD36,000 (RM147k), dan ianya menjadi kenderaan harian Undertaker tanpa perlu risaukan sangat mengenai calar atau kerosakan kecil.

ATS dikuasakan enjin 4-silinder 2.5-liter dengan kuasa 202hp. Terdapat juga pilihan enjin 2.0-liter turbo dengan 272hp dan 3.6-liter V6 dengan 321hp.

Pilihan transmisi pula sama ada manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan, dengan pacuan roda-belakang atau semua-roda.

5. Jeep Wrangler Rubicon

Okay kenderaan seperti Wrangler Rubicon ini memang nampak sangat sesuai dengan Undertaker, dan tidak mengejutkan jika dia memilikinya.

Model Jeep Wrangler Rubicon pernah dianugerahkan sebagai “4×4 of the Decade” oleh majalah Four Wheeler dan dikatakan antara 10 kenderaan dengan nilai jualan semula tertinggi.

6. Chevrolet Tahoe

Satu lagi kenderaan tinggi milik Undertaker ialah Chevy Tahoe yang digunakan untuk membawa seisi keluarganya.

Dengan saiz besar dan panjang, tidak hairanlah model Tahoe ini mempunyai enjin besar gedabak iaitu 5.3-liter Ecotec V8 FlexFuel dengan 320hp, dan enjin 6.2-liter Vortec 6200 V8 FlexFuel yang menjana 405hp.

7. Mercedes G-Class

The Undertaker memang gemarkan pelbagai tahap kenderaan dari yang mampu milik seperti Cadillac ATS hingga yang mewah iaitu Bentley Continental GT.

Mercedes G-Class ini antara SUV kategori mewah yang turut menjadi milik lagenda WWE itu.

Namun kami sebenarnya tidak pasti sama ada G-Class milik Undertaker merupakan versi biasa G500 atau versi prestasi AMG G63/G55 dengan enjin 4.0-liter V8 twin-turbo.  

8. Ford Mustang

Kini di segmen lain pula, kita melihat kepada Ford Mustang yang turut menjadi salah satu kereta milik Undertaker.

Ford Mustang merupakan model ikonik untuk Ford dan Amerika umumnya. Generasi terbaharu dikuasakan oleh pilihan enjin 5.0-liter V8 dan 2.3-liter EcoBoost turbo.

9. Mercedes-Benz E-Class W123

Satu lagi model Mercedes dimiliki Undertaker ialah E-Class tahun 70an, lebih tepat lagi generasi W123, model tahun 1978. Ia nampak biasa-biasa sahaja semasa zamannya, tetapi hari ini bentuk Mercedes W123 menjadi salah satu rekabentuk paling ikonik.

Model ini biasanya menggunakan enjin 2.0-liter 4-silinder sebaris atau 3.0-liter 6-silinder sebaris, yang menghasilkan 93hp hingga 134hp. E-Class ini juga merupakan antara kereta pertama dibeli Undertaker.

10. Hot Rod

Sesuai dengan wataknya yang mistik, misteri dan gelap, The Undertaker pernah mengenakan topi, jubah yang semuanya hitam, hampir gaya Gothic.

Jadi, apa kereta paling sesuai untuk gaya ini? Sudah tentu Hot Rod berwarna hitam. Jentera ini sangat sinonim dengan Undertaker selain beberapa chopper miliknya.

11. Harley-Davidson Softtail Fatboy

Sebagai seorang pengumpul motosikal, Undertaker sering menunggang sendiri ke gelanggang perlawanan. Salah satu motosikal yang pernah digunakan ialah Harley Fat Boy ini, sebuah jentera cruiser V-twin.

Harley-Davidson Fatboy mula dibina sebagai prototaip untuk Daytona Bike Week pada 1988 dan 1989 sebelum dijual kepada awam pada 1990 hingga 2017.

12. Harley-Davidson CVO Limited

Pada tahap ini, kita sudah tahu Undertaker peminat Harley-Davidson. Motosikal seterusnya yang pernah beliau miliki ialah CVO (Custom Vehicle Operations) yang terhad.

Motosikal berharga USD40,000 (RM163,000) ini mendapat enjin lebih besar, rekaan cat badan lebih premium dan beberapa aksesori tambahan yang unik kepada pemilik-pemiliknya.

13. Harley-Davidson Breakout

Motosikal Harley-Davidson seterusnya ialah model Breakout, yang merupakan model lebih moden dan kecil dengan harga permulaan USD19,049 (RM77,653).

Ini merupakan antara motosikal terbaharu milik Undertaker, dengan enjin 1,746cc Milwaukee-Eight 107 atau 114. Ia juga dilengkapi tayar belakang lebar 240mm yang memberikannya imej motosikal drag klasik.

14. Mercedes-Benz SL-Class Triple H

Kini kita pergi pula kepada senarai kereta yang pernah dimiliki Triple H yang kemudiannya menjadi milik Undertaker.

Pertamanya ialah Mercedes-Benz SL-Class. Triple H dan Undertaker merupakan antara musuh ketat paling disebut dalam sejarah WWE.

Mercedes SL-Class ini semasa baharu berharga sekitar USD87,000 (RM355k) hingga USD110,000 (RM448k).

15. Cadillac Escalade ESV Triple H

Cadillac Escalade ESV ialah SUV mewah bersaiz penuh berharga USD78,000 (RM318k). Walaupun mahal, ia tetap antara model paling popular jenama itu, dan turut dijual di luar Amerika Syarikat seperti Kanada, Mexico, Rusia dan negara-negara Timur Tengah.

Escalade ESV mempunyai pilihan enjin 5.3-liter V8 berkuasa 285hp dan 6.0-liter Vortec V8 dengan 345hp. ESV merupakan versi long-wheelbase atau panjang untuk model Escalade yang sudah sememangnya besar.

Ia sebelum itu menjadi antara kenderaan harian Triple H.

16. BMW M760Li Sport Triple H

Kereta Triple H paling cool pastinya BMW M760Li Sport, sebuah 7-Series berkuasa 607hp yang berharga USD204,000 (RM831,565).

Enjin 6.0-liter V12 padanya memberikan tork tinggi pada rpm rendah, membolehkan sedan eksekutif ini mencapai 100km/j dalam hanya 3.7 saat.

Ia juga dilengkapi ciri canggih seperti suspensi yang ditala semula, stereng elektronik aktif dan stereng roda belakang untuk pemanduan lebih lincah dan stabil.

Sumber: express.co.uk, whatculture.com, theringer.com, sportskeeda.com

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here