Perkhidmatan feri Pulau Pinang diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Januari 2021

1567

Bermula 1 Januari 2021, bot penumpang laju akan menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang telah beroperasi selama 126 tahun, dimana perkhidmatan ini menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri tersebut.

feri pulau pinang

Feri sedia ada pula hanya akan digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama.



Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng, penambahbaikan akan dilaksana secara interim bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022, sebelum perkhidmatan katamaran atau teksi air diperkenalkan selepas tarikh terbabit.

Mengulas penggantian feri, katanya dua bot laju akan digunakan dan mampu membawa 200 penumpang dengan kepantasan perjalanan antara 10 hingga 15 minit serta kekerapan 40 kali sehari.

“Sepanjang tempoh itu, kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda di Georgetown dan Sultan Abdul Halim di Butterworth akan diubah suai dan dinaik taraf dengan terminal di Georgetown dipindahkan sementara ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

“Ia bagi menyediakan perkhidmatan feri yang lebih cekap dan keselesaan terminal, malah kita memberi jaminan tambang juga akan dikekalkan sepanjang tempoh perkhidmatan interim ini, kata Teik Cheng.

Contoh perkhidmatan katamaran atau teksi air yang akan diperkenalkan di Pulau Pinang selepas 30 Jun 2022.

Mengenai penggunaan katamaran atau teksi air, Teik Cheng berkata ia akan menggantikan bot laju selepas tempoh interim terbabit iaitu bermula 1 Julai 2022 atau mungkin lebih awal.

Katanya, tiga katamaran akan disediakan dengan kemampuan membawa sehingga 200 penumpang dan kepantasan antara 10 hingga ke 15 minit dengan kekerapan 40 kali sehari dengan pengendalian di bawah PPSB.

Vehicle transporter (pengangkutan air) yang akan diperkenalkan pula hanya boleh digunakan pengguna basikal dan pembonceng motosikal dengan pengecualian kepada kenderaan empat roda bagi situasi kecemasan sahaja.

“Penggantian kepada bot jenis katamaran ini juga mengambil kira penjimatan yang dapat dilakukan memandangkan bot jenis ini mudah diselenggara.

“Berbanding feri sedia ada ketika ini, kos membaiki sebuah feri mencecah RM2.2 juta dan kita juga sukar mendapatkan alat ganti kerana perlu diimport dari Jerman dan Sweeden.

“Keadaan menjadi lebih sukar bagi kita menyelenggara feri sedia ada tahun ini apabila kita turut berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP), tambah Teik Cheng.

Dengan penggunaan bot terbabit, ia sekali gus membayangkan berakhirnya perkhidmatan feri bagi kenderaan pacuan empat roda di negeri tersebut.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here