Feri Pulau Pinang ditunda Khamis, bakal dijadikan muzium

264

Sebuah feri ikonik Pulau Pinang yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri Pulau Pinang akan ditunda dari Bagan Dalam Slipway ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada jam 12.30 tengah hari, Khamis.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk mengambil gambar atau merakam video proses penundaan itu boleh ke Pusat Kawalan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Perai untuk berbuat demikian.



Kurator Muzium Feri Pulau Pinang, Siti Faridah Hani Damsi berkata, feri ikonik itu memain peranan penting dalam sejarah perkhidmatan Feri Pulau Pinang.

“Orang ramai dijemput untuk menyaksikan detik bersejarah ini sebagai feri terakhir yang melintasi KTMB Swing Bridge berikutan penutupan Bagan Dalam Slipway.

“Feri ikonik ini akan menyelusuri Selat Pulau Pinang dan ia sangat menarik untuk dirakam sebagai kenangan,” katanya. 

FERI PULAU PINANG TENGGELAM DI BAGAN DALAM

Menurut beliau, feri bernama Feri Pulau Pinang pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam pada tahun 2021, sedang giat dibaikpulih untuk dijadikan muzium oleh Syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd.

“Kerja baik pulih berskala besar (major) telah siap dilakukan yang mana status kerja membaik pulih telah siap antara 60 hingga 70 peratus.

“Selebihnya, kerja-kerja itu dan juga kerja pengubahsuaian akan dilakukan di SPCT sebelum feri tersebut dibawa ke Tanjung City Marina untuk diletakkan di situ,” katanya.

Tambah Siti Faridah, di Tanjung City Marina juga barang-barang pameran akan dimasukkan ke feri tersebut sebelum dibuka kepada orang awam sebagai muzium feri terapung pertama di Asia.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, sebuah feri ikonik sedang ditransformasi untuk dijadikan sebuah muzium akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Mengimbas kembali mengenai feri-feri ikonik ini, pada tahun 2021, SPPP telah memajak feri-feri ikonik termasuk Feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikannya produk pelancongan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan selain pajakan telah ditamatkan.

Bermula 1 Januari 2021, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar dihentikan yang mana feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Bagaimanapun, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri ikonik di Tanjung City Marina.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here