Turun bukit, guna gear berapa? Ini panduan automatik, CVT, DCT dan manual

62203

Baiklah, turun bukit, gear apa yang patut kita gunakan? Sebenarnya perkara ini sudah diajar dalam kelas teori semasa kita mengambil lesen memandu.

Tetapi ada yang terlupa, ada yang tak beri perhatian, dan ada juga yang tidur. Merasakan ceramah itu membosankan, kemudian mula lah kita bertanya soalan-soalan yang mengundang kecaman dalam forum atau Group di Facebook.



Apa pun, mari kita semak semula bab ini. Perlu turun gear? Gear berapa nak guna?

Ya, mungkin sekadar menuruni kawasan parkir tidak menjadi isu, tetapi perkara ini penting apabila kita menuruni bukit yang agak bercerun dan dalam tempoh masa yang lama.

Sebagai contoh turun dari Cameron Highlands, Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), atau selepas anda touge pagi Ahad di Genting Highlands. Dan dalam artikel ini kami akan kongsikan tips untuk semua jenis transmisi, baik automatik, CVT, dwi-klac atau manual.

Kenapa anda perlu tahu? Ini penting untuk kita sentiasa berada dalam kawalan dan mengelakkan brek overheating (terlebih panas). Dan anda sendiri tahu apa terjadi bila brek overheat.

Teknik yang betul ini juga dapat memanjangkan jangka hayat komponen seperti pelapik brek (brake pad), klac, dan kotak gear itu sendiri.

Apa itu engine braking

Pertama sekali, kita perlu tahu brek enjin atau engine braking. Ianya ialah proses memperlahankan kenderaan dengan melepaskan pedal minyak semasa dalam gear.

Ini kerana semasa tidak menekan minyak, aliran udara ke dalam enjin dihentikan dan ini menyebabkan tekanan rendah pada manifold vacuum dalam silinder yang memberi rintangan untuk komponen enjin bergerak.

Sumber: Youtube – Engineering Explained

Sudah tentu brek enjin ini hanya berfungsi semasa anda sedang bergerak dan dalam gear.

Harus diingat kuasa memberhentikan kereta masih dibuat dengan menekan brek kaki, cuma brek enjin akan memberikan daya brek yang lebih berkesan. Beban pada sistem brek (cakera dan pelapik) juga dikurangkan.

Automatik

Contoh model: Perodua Myvi, Axia, Proton Wira, Waja, Gen2, Saga BLM, Saga 2019, X70 CBU, Toyota Vios, Honda Civic FD dan FB, Mazda 3, CX-30, CX-5, Peugeot 3008, Toyota Hilux, Isuzu D-MAX, BMW 3-Series G20, 5-Series G30, MINI Cooper, Volvo XC40, XC60, S60, Mercedes C-Class, E-Class, GLC, Mercedes-AMG C43

Automatik di sini merujuk kepada sistem konvensional klac tunggal (single clutch). Untuk transmisi automatik jenis ini, biasanya terdapat gear 3, 2, atau L selain D. Anda boleh tukar ke gear-gear lebih rendah ini semasa menuruni bukit.

Tiada gear spesifik kerana semuanya bergantung kepada tahap kecerunan bukit dan kelajuan anda pada masa itu. Yang penting perhatikan jarum putaran enjin (rpm) agar tidak terlalu tinggi menghampiri had redline sebelum turun gear.

Memandu dalam keadaan jarum berada di tengah-tengah sekitar 3,000 hingga 4,500rpm cukup bagus kerana jika rpm terlalu rendah pula, brek enjin tidak begitu berkesan dan ketara.

Bagi model yang dilengkapi paddle-shifter, anda boleh tarik tuil “-” untuk turun ke gear lebih rendah, juga bergantung kepada rpm.

Sambil itu, tekan pedal brek secara berkadar jika perlu. Ingat, anda tidak mahu tekan terlalu lama untuk mengelakkan ianya terlebih panas.

Transmisi pada sesetengah model premium sudah cukup bijak untuk tahu anda sedang menuruni bukit dan akan memberikan gear yang sepatutnya.

CVT

Contoh model: Proton Saga FLX sehingga 2018, Persona 2016, Iriz, Honda City, Jazz, CR-V, Civic FC, Toyota Vios 2016, Yaris, Mitsubishi Outlander, Xpander, Nissan X-Trail, Subaru XV, Forester

Seperti anda mungkin tahu, sistem CVT atau Continuously Variable Transmission tidak mempunyai gear fizikal planetary. Apa yang ada cumalah talaan pada transmisi untuk memberikan ‘tangga’ gear.

Kebanyakan transmisi CVT moden juga cukup pintar untuk mengetahui jika anda menuruni bukit dan akan memberi rpm lebih tinggi untuk brek enjin.

Tetapi jika anda lihat rpm terlalu rendah semasa menuruni bukit, anda boleh tukar dari D kepada S, L atau menggunakan paddle-shifter untuk ‘pergi ke gear lebih rendah’ dan meninggikan pusingan enjin.

DCT

Contoh model: Proton X50, X70 CKD, Honda HR-V Sport Hybrid, Volkswagen Golf GTi, Golf R, Passat, Renault Megane RS EDC, Mercedes A-Class, Mercedes-AMG A35, A45, Porsche 911, Panamera, Cayenne, Macan, Ferrari F8 Tributo, Lamborghini Huracan

Berbanding automatik konvensional biasa, DCT atau dual-clutch/dwi-klac/PDK/DSG (bergantung kepada pengeluar) biasanya lebih kompleks dan lebih pintar. Bergantung kepada model dan mod pemanduan, transmisi akan memberikan gear yang sepatutnya untuk sesuatu keadaan.

Dalam mod Sport biasanya, transmisi lebih cenderung turun gear lebih awal, lalu memberikan brek enjin semasa menuruni bukit.

Teknik yang sama, tekan brek kaki jika perlu dan anda turun gear sendiri jika rpm terlalu rendah.

Manual

Akhir sekali, kita pergi kepada gear paling ringkas dan old skool iaitu manual. Ini bukan ‘mod manual’ dalam gear automatik ya, tapi semestinya manual sebenar dengan tiga pedal.

Sama juga ideanya, anda mahu tukar kepada gear lebih rendah semasa menuruni bukit jika rpm sebelum itu terlalu rendah.

Sebagai contoh, katakan anda memandu dalam gear 4 pada 80km/j dan 2,000rpm, sebaik menuruni bukit, anda mahu tekan sedikit brek dan tukar kepada gear 3, mungkin kelajuan dikurangkan kepada 70 atau 60km/j, dan rpm mencapai 4,000.

Paling ideal jika anda tahu buat heel-and-toe atau rev-matching untuk turun gear dengan lancar, tetapi ini mungkin cerita dalam artikel lain. Jika tidak, turun sahaja gear macam biasa secara berhati-hati.

Kesimpulan

Kesimpulannya, walau apa jenis pun kenderaan yang anda pandu, anda mahu pastikan ada brek enjin semasa menuruni bukit.

Rpm lebih tinggi akan guna lebih minyak? Tidak juga. Dalam kenderaan moden, sebaik sahaja anda mengangkat kaki kanan dari pendikit, minyak tidak akan digunakan langsung tidak kira pada rpm berapa pun enjin berputar.

Mungkin untuk kereta lama yang menggunakan sistem karburator, ya, penggunaan minyak lebih tinggi pada rpm tinggi walaupun pedal minyak tidak ditekan.

Tetapi jika mahu jimat sekalipun, berapa sen sangatlah. Keselamatan lebih penting, dan menukar pelapik brek lebih mahal dari penjimatan minyak.

Paling penting, jangan tukar kepada N pula semasa turun bukit, masuk gaung nanti!

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

1 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here