Tiga lelaki naik Toyota Vios culik ejen produk kosmetik

2940

Seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik dipercayai diculik di rumahnya Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, petang semalam. 

Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilapor dilarikan tiga lelaki tidak dikenali pada jam 4.10 petang dengan menaiki Toyota Vios.



Warisnya yang enggan dikenali, mendakwa tiga lelaki itu datang ke rumah sebelum seorang daripada mereka mengetuk pintu dan memberi salam.

“Pintu dibuka oleh mangsa dan lelaki itu bertanya adakah mangsa bernama Azi. Mangsa mengiyakannya lalu dia terus diheret keluar dan dimasukkan ke dalam kereta.

“Tiga lelaki itu didakwa turut menunjukkan pistol masing-masing kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada dalam rumah, selain mengugut jika mereka buat apa-apa tindakan.

“Bapanya yang melihat Azi diheret masuk ke dalam kereta cuba menyelamatkannya, namun seorang daripada lelaki itu didakwa turut mengacu sebilah pisau ‘Rambo’ menyebabkan bapa mangsa berundur dan hanya mampu melihat anaknya dilarikan,” katanya.

Dia berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa Rosnazirah dibawa ke arah Pengkalan Kubor, iaitu kawasan sempadan negara, menyebabkan suami mangsa bergegas ke sana, namun isterinya gagal ditemui.

“Ada penduduk setempat mendakwa nampak seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju negara jiran, Toyota Vios dinaiki mereka turut ditemukan di sebuah pangkalan haram di situ.

“Suami mangsa menjejaki isterinya ke negara jiran dan belum pulang sehingga hari ini. Apa yang kami tahu, Azi tiada musuh dan kami juga tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan setakat ini,” jelasnya. 

Terdahulu tular rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman mangsa yang berdurasi 2 minit 51 saat memaparkan kejadian penculikan itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketika mengesahkan polis menerima laporan berkaitan kejadian itu, berkata siasatan lanjut sedang dibuat dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here