Polis buru perompak bertopeng larikan barang kemas bernilai RM1.4 juta

355

Barang kemas bernilai hampir RM1.4 juta dilarikan dalam satu rompakan di tempat letak kereta di depan sebuah kedai emas, Kuala Kangsar, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laporan kejadian diterima pada jam 11.22 pagi melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.



Menurutnya, suspek memakai sarung muka bertindak memecahkan cermin kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas yang membawa barang kemas tersebut untuk dihantar ke premis.

“Mangsa berusia lewat 30-an ketika itu baru sahaja turun dari kereta sebelum secara tiba-tiba didatangi beberapa lelaki memakai topeng bersenjatakan parang dan tukul.

“Cermin kereta mangsa dipecahkan bagi mendapatkan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta,” katanya.

@fhairulfizzy13

Rompakan di hadapan kedai emas kuala kangsar

♬ bunyi asal – Fhairul Fizzy – Fhairul Fizzy

Beliau berkata, kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada mangsa mahupun orang awam.

Operasi mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Insiden rompakan itu sempat dirakam seorang pengguna jalan raya sebelum tular di media sosial.

Video 21 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki menaiki dua kenderaan berhenti secara mengejut di tepi kenderaan mangsa.

Kelihatan tiga lelaki berpakaian serba hitam dan menutup muka menggunakan sarung hitam melarikan beg-beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here