
Seorang penunggang motosikal yang lumpuh dari dada ke bawah berjuang untuk kembali menunggang dan lulus ujian memandu penuh hanya beberapa bulan selepas mendapat CBT.
Jacob Davies-Pyke terlibat dalam kemalangan pada Disember 2022 dan mengalami kecederaan tulang belakang yang mengubah kehidupannya dan tidak lagi boleh berjalan.
Namun, musibah yang berlaku bukanlah penghalang buat dirinya untuk menunggang kembali.
“Sebelum kemalangan itu, saya menggunakan motosikal saya bukan sahaja untuk berulang-alik, tetapi ia juga sebahagian besar dalam kehidupan sosial saya.
“Motosikal saya memberi saya dimensi baharu dalam hidup. Ini adalah sesuatu yang saya tidak mahu berputus asa,” katanya.
Selepas melakukan tinjauan, Jacob memilih motosikal tiga roda bagi membolehkan dirinya kembali ke jalan raya dan dia mencari Can-Am Spyder lalu melakukan naiktaraf untuk keperluan mobilitinya.
Mendapatkan latihan yang diperlukan menjadi satu cabaran besar, bagaimanapun dengan kebanyakan sekolah memandu tidak dapat menawarkan servis sesuai dengan kekurangannya, sehinggalah dia berhubung dengan Latihan Motosikal Phoenix.
“Saya hampir putus harapan apabila menghubungi Phoenix. Mereka sangat memahami dan memberitahu saya bahawa mereka lebih gembira untuk membantu,” kongsinya.
Bermula dari itu, Jacob memulakan latihan asas wajib (CBT) yang biasanya perlu diambil sebelum menunggang motosikal di jalan raya.
Latihan ini memastikan rider menunggang dengan selamat semasa mereka berlatih untuk ujian motosikal penuh.
Dia menggunakan motosikal Can-Am miliknya sebelum menjalankan latihan tambahan dan ujian penuh.
Selepas mendapatkan lesen (terhad kepada roda tiga), Jacob berkata, “saya kini boleh mendapatkan semula kebebasan dan kemerdekaan yang saya rasa hampir hilang selama-lamanya.
“Saya harap cerita saya akan memberi inspirasi kepada orang kurang upaya. Kehidupan tidak perlu berakhir hanya kerana anda mengalami kecederaan saraf tunjang.”