
Pasaran SUV hibrid mewah di Malaysia bakal menyaksikan kehadiran pencabar baharu selepas GWM Malaysia secara rasmi melancarkan GWM Tank 500 HEV pada harga RM328,800
Sempena pelancaran di Malaysia Autoshow 2025, 100 pelanggan awal akan menerima set hadiah edisi terhad yang eksklusif (bar emas 99.9) dan pakej penyelenggaraan percuma selama 5 tahun untuk tempoh terhad.
TANK 500 HEV berukuran 5,078 mm panjang, 1,934 mm (lebar) dan 1,905 mm (tinggi) serta jarak roda 2,850 mm.
Model itu menampilkan saiz dan gaya sebuah SUV mewah tujuh tempat duduk, selain disertakan sistem hibrid berkuasa tinggi, teknologi canggih dan kemasan dalaman setanding kenderaan segmen mewah.
Enjin Turbo Hibrid, Prestasi Mengagumkan
Di bawah bonet, Tank 500 HEV dipadankan dengan enjin 2.0L turbocharged 4-silinder, digabungkan sistem motor elektrik menerusi transmisi automatik hibrid 9-kelajuan.
Gabungan kuasa itu menghasilkan output 346 PS dengan tork setinggi 648 Nm tork angka yang membolehkan SUV ini bersaing dengan model premium sedia ada di pasaran.
Lebih menarik, ia hadir dengan sistem pacuan semua roda pintar (4WD) bersama fungsi M-Lock, 11 mod pemanduan termasuk off-road, serta teknologi seperti TANK Turn Assist, Cruise Control off-road, dan sistem Pandangan Casis Telus yang memaparkan keadaan bawah kenderaan secara langsung melalui skrin infotainmen.
Ruang Dalaman Luas dan Mewah
GWM Tank 500 HEV direka dengan keselesaan maksimum. Konfigurasi 7 tempat duduk menjadikannya ideal untuk kegunaan keluarga besar, manakala kemasan dalaman seperti kulit NAPPA, kerusi larasan elektrik, dan sistem audio Infinity memberikan pengalaman kabin setanding SUV mewah dari jenama Eropah.
Tidak ketinggalan, paparan digital penuh, ambient lighting, kawalan suhu tiga zon dan ruang penyimpanan pintar meningkatkan lagi keselesaan dan prestij penumpang.
Ciri Keselamatan dan ADAS
Dari segi keselamatan, GWM Tank 500 HEV dilengkapi dengan pakej bantuan pemanduan lengkap (ADAS) termasuk:
- 6 beg udara
- Sistem brek anti-kunci (ABS)
- Agihan daya brek elektronik (EBD)
- Bantuan brek kecemasan (BA)
- Kawalan kestabilan elektronik (ESC)
- Sistem kawalan cengkaman (TCS)
- Pemantauan titik buta (BSM)
- Amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
- Kamera pandangan keliling 360 darjah
Semua ciri ini menjadikan Tank 500 antara SUV paling lengkap dalam kelasnya dari aspek keselamatan aktif dan pasif.
GWM Tank 500 HEV bukan sahaja menunjukkan komitmen GWM untuk membawa produk berkualiti tinggi ke pasaran Malaysia, tetapi juga menandakan kehadiran jenama ini dalam segmen SUV premium secara serius.
Dengan penampilan yang garang, teknologi moden, ruang kabin mewah dan prestasi cemerlang, ia bersedia menjadi pilihan utama mereka yang mahukan SUV 7 tempat duduk dengan gaya, kuasa dan kepraktisan – semuanya dalam satu pakej berbaloi.
TANK 500 HEV didatangkan dengan waranti :
- Waranti seumur hidup untuk enjin, transmisi dan sistem HEV (khas untuk pemilik persendirian pertama)
- Waranti 8 tahun / 200,000km untuk bateri
- Waranti kenderaan menyeluruh selama 6 tahun tanpa had perbatuan