BYD bakal buka kilang di Tanjung Malim, pengeluaran bermula 2026

79

BYD Sime Motors, pengedar rasmi kereta BYD di Malaysia bakal menubuhkan kilang pemasangan tempatan (CKD) di negara ini yang dijangka mula mengeluarkan kenderaan pada 2026.

Pada masa sama, BYD Malaysia turut mengesahkan rancangan untuk membina kilang pemasangan CKD baharu di Tanjung Malim, Perak meliputi kawasan seluas 600,000 meter persegi.

Pelaburan itu menekankan strategi jangka panjang BYD untuk mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dan meluaskan bekalan EV kepada pelanggan tempatan.

Pengurus Besar, Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang berkata, Malaysia adalah satu pasaran paling penting BYD di Asia Tenggara.

Menurutnya, berkat sokongan kukuh Sime Motors, pihaknya yakin dapat mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dan membawakan teknologi EV bertaraf dunia lebih dekat kepada pelanggan. 

“Komitmen ini bukan sahaja bertujuan membekalkan produk inovatif tetapi juga melabur dalam masa depan ekosistem EV Malaysia daripada pemasangan tempatan, kepada pembangunan bakat dan daya pengangkutan elektrik.

“Bersama-sama, kami berharap untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah pengangkutan masa depan yang lebih hijau dan lebih pintar, dengan BYD berperanan sebagai rakan kerjasama jangka panjang bagi negara ini,” katanya.

Sementera itu, BYD Sime Motors turut mengukuhkan rangkaian seluruh negara dengan pembukaan Pusat 3S BYD Balakong oleh Wing Hin Ventures Sdn Bhd. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kini 36 pusat di seluruh Malaysia.

Sebagai Pusat 3S terbesar BYD di negara ini, bangunan tiga tingkat seluas 3,360 meter persegi itu menempatkan dua tingkat bilik pameran kenderaan, 10 medan servis, satu tingkat ruang pejabat, serta kawasan khidmat lepas jualan seluas 1,514 meter persegi.

Pusat ini menawarkan pengalaman 3S yang menyeluruh dan premium, mencerminkan komitmen BYD terhadap kecemerlangan dan kepuasan pelanggan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here