Utama Berita Automotif Honda kekal komited terhadap EV, hibrid terus jadi fokus utama – Toshihiro...

Honda kekal komited terhadap EV, hibrid terus jadi fokus utama – Toshihiro Mibe

6

Honda Motor Co. Ltd menegaskan bahawa syarikat itu kekal komited terhadap pembangunan kenderaan elektrik (EV) walaupun pasaran global kini menunjukkan pertumbuhan yang perlahan.

Pengarah, Presiden dan Pegawai Eksekutif Perwakilan Honda Motor Co. Ltd, Toshihiro Mibe, berkata syarikat itu masih percaya bahawa EV merupakan penyelesaian jangka panjang terbaik untuk mencapai sasaran neutral karbon global.

“Pertumbuhan pasaran EV memang lebih perlahan daripada jangkaan, tetapi dalam jangka sederhana dan panjang, kenderaan elektrik tetap menjadi hala tuju utama industri automotif.

Honda akan terus memperkukuh usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui platform baharu Honda Zero Series, yang dibangunkan khas untuk kenderaan elektrik sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama wakil media tempatan, Filipina dan Australia di Jepun, baru-baru ini.

Wakil media Malaysia, Filipina dan Australia

Mibe berkata, pihaknya juga sedang membangunkan generasi baharu platform EV yang akan menjadi asas kepada model masa depan, selain menjelaskan bahawa teknologi itu akan terus berevolusi dan menjadi tunjang penting kepada strategi elektrifikasi Honda.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa permintaan terhadap kenderaan hibrid masih meningkat di seluruh dunia, menjadikan teknologi itu salah satu komponen penting dalam pelan elektrifikasi syarikat.

Menurutnya, Honda kini merancang untuk memperkenalkan sistem hibrid bersaiz sederhana generasi baharu menjelang 2027, diikuti sistem untuk model bersaiz besar, sekali gus melengkapkan barisan hibrid penuh daripada model kompak hingga besar.

“Kami akan terus membangunkan sistem dua motor, satu untuk pacuan dan satu lagi untuk penjanaan tenaga.

“Teknologi ini juga boleh disesuaikan untuk sistem plug-in hybrid (PHEV) bergantung kepada keperluan pasaran,” katanya.

Ketika ditanya sama ada teknologi hibrid masih relevan ketika kebanyakan pengeluar global memberi tumpuan kepada EV sepenuhnya, Mibe menegaskan bahawa Honda tidak mengurangkan pelaburan terhadap EV, sebaliknya menilai semula model dan jumlah pengeluaran bagi menyesuaikan strategi dengan keadaan pasaran semasa.

“Kami tidak menghentikan pembangunan EV. Kami hanya menyemak semula model dan jadual pelancaran agar selaras dengan permintaan sebenar pasaran.

“Honda mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam pembangunan teknologi hibrid, membolehkan syarikat mengeluarkan model baharu dengan kos yang lebih efisien tanpa menjejaskan prestasi,” katanya.

Menjelang 2030, Honda menyasarkan jualan lebih dua juta unit kenderaan hibrid di seluruh dunia, menjadikan teknologi tersebut komponen utama dalam operasi global sebelum peralihan penuh kepada EV.

Selain itu, Mibe menegaskan bahawa Honda kini mengambil pendekatan seimbang dan berperingkat dalam mencapai neutral karbon, dengan mengekalkan pelaburan terhadap EV serta memperkukuh barisan model hibrid bagi memenuhi keperluan pasaran yang berbeza di setiap rantau.

“Strategi kami adalah memastikan peralihan ke arah mobiliti rendah karbon dapat dilaksanakan dengan cara yang realistik dan mampan untuk pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

Langkah itu, katanya, menegaskan pendirian Honda bahawa elektrifikasi bukan perlumbaan siapa yang lebih cepat, tetapi satu perjalanan berterusan untuk memastikan teknologi baharu benar-benar boleh diakses dan diterima oleh semua.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here