Nahas UPSI : Syarikat bas guna permit tidak sah, didenda RM20,000

9

Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menjual bas persiaran dengan nombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewa permit kenderaan tersebut kepada Noreen Maju Trading.

Noreen Maju Trading merupakan perniagaan pengendalian pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] yang mana bas dikendalikan terlibat dalam kemalangan maut ketika membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berkata, Mahkamah Majistret Gerik, Perak pada Isnin lalu mensabitkan Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd (806799-V) dengan dua pertuduhan itu di bawah Peraturan 6(1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 [P.U.(A) 333/1992].

Menurutnya, ia kerana syarikat perkhidmatan bas tersebut gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen seperti Noreen Maju Trading.

“Bas PLD 8892 yang dikendalikan Noreen Maju Trading terlibat dalam kemalangan maut di Gerik ketika membawa sekumpulan pelajar UPSI pulang ke kampus Tanjong Malim.

“Hakim Mahkamah Majistret Gerik, Muhammad Firdaus Nor Azlan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000.

“Kegagalan membayar denda boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun,” kata Motac dalam kenyataan pada Khamis.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zulaikha Mahadi bersama Pegawai Pendakwa Motac, Nurul Hidayah Aman.

Sebelum ini, media melaporkan, 15 pelajar disahkan meninggal dunia manakala selebihnya mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Gerik.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here