
Sistem perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabagsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dihentikan sementara pada jam 9 malam hingga 7 pagi bermula esok sehingga sebulan bagi memberi laluan kepada pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem tren itu.
Langkah berstruktur itu merupakan antara inisiatif menerusi pelan tindakan komprehensif dilaksanakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem Aerotrain di KLIA sepanjang tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pelan dibangunkan bersama kontraktor dan perunding dilantik itu melibatkan tiga peringkat berstruktur bagi menangani kelemahan sistem aerotrain secara sistematik.
“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas penuh akan disediakan bagi memastikan sambungan tanpa gangguan antara terminal utama dan bangunan satelit.
“Untuk memberikan keselesaan tambahan kepada penumpang, lebih banyak penerbangan berlepas dan tiba akan ditempatkan di bangunan terminal utama bagi mengurangkan keperluan pertukaran antara terminal,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Izani berkata, pelan tindakan komprehensif itu membolehkan MAHB menangani punca utama gangguan yang berlaku sebelum ini secara sistematik, seterusnya memastikan keselamatan dan kepuasan penumpang pada tahap terbaik.
TIGA PERINGKAT DIGARISKAN

Tambah beliau, sebanyak tiga peringkat digariskan yang mana langkah pertama memberi tumpuan untuk mengenalpasti dan membetulkan ketidaksempurnaan sistem selain mencegah insiden berulang berlaku.
Langkah itu turut melibatkan pelaksanaan naik taraf teknikal dan perisian yang dirancang, selain melaksanakan pemeriksaan terperinci terhadap keseluruhan sistem tren berkenaan.
“Peringkat kedua berpusat kepada proses validasi termasuk ujian operasi simulasi serta penambahbaikan seperti kemas kini perisian, pelarasan semula komponen dan ujian tekanan masa nyata bagi meningkatkan keteguhan sistem.
“Peringkat akhir melibatkan operasi percubaan yang dipantau untuk mengesahkan kesediaan serta kestabilan operasi sistem sebelum perkhidmatan penuh disambung semula,” katanya.
Mohd. Izani berkata, sebagai jaminan tambahan, penilaian bebas turut dilaksanakan bagi menjalankan audit teknikal dan operasi yang komprehensif.
Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga akan melakukan pemeriksaan keselamatan secara rasmi setelah pelan berkenaan selesai.
Untuk rekod, sejak kembali beroperasi pada 1 Julai lalu, sistem Aerotrain di KLIA telah memberi perkhidmatan kepada kira-kira tujuh juta penumpang selain melengkapkan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik dengan mencatatkan Ketersediaan Perkhidmatan Operasi (OSA) sebanyak 98.41 peratus.





























