
Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki tempatan dipercayai sebagai ‘carrier’ membawa warga asing secara tidak teratur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 2 (KLIA T2), pada Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata lelaki itu cuba membawa masuk warganegara Saint Kitts and Nevis serta seorang perempuan warganegara China.
“Berdasarkan risikan selama 2 minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan ketiga-tiga yang ditahan berusia di antara 25 hingga 34 tahun.
“Semakan awal mendapati kedua-dua warganegara asing yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku.
“Pasukan operasi menyita pasport China, Saint Kitts and Nevis, pasport Malaysia, cap keselamatan imigresen, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM23,100,” katanya menambah aktiviti itu beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Menurut beliau, ‘carrier’ yang merupakan warga tempatan akan membawa migran ke kaunter ditetapkan untuk memudahkan mereka melepasi pemeriksaan.
Jelasnya, migran akan menerima arahan laluan yang akan digunakan ke kaunter yang telah di ‘setting’ berserta lakaran atau gambaran kedudukan kaunter yang akan digunakan.
“Pegawai yang bertugas di kaunter pemeriksaan disyaki terlibat, mengetahui lebih awal pergerakan masuk migran melalui aplikasi Whatsapp apabila ‘carrier’ menghantar gambar pakaian yang dipakai oleh migran bagi memudahkan pegawai mengenalpasti migran yang ingin dilepaskan.
“‘Carrier’ dan migran akan berjumpa semula di pintu balai ketibaan dan akan bergerak bersama-sama untuk keluar dari kawasan KLIA T2. ‘Carrier’ hanya menggunakan isyarat tangan kepada migran bagi mengaburi pihak berkuasa yang berada di kawasan KLIA T2,” jelasnya.
Lelaki itu ditahan di bawah Sek.12(1)(f) Akta Pasport 1966 manakala dua lagi migran ditahan di bawah Sek.56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.






























