
Kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang membawa status dan prestij, Toyota Vellfire 2.5 HEV Executive Lounge mencipta dimensi baharu kerana ia bukan sekadar besar dan selesa, tetapi lebih senyap, pintar dan lebih efisien.
Model itu diangkat sebagai model utama Vellfire/Alphard oleh UMW Toyota Motor, mencerminkan hala tuju elektrifikasi premium Toyota di Malaysia.
Pendekatan ini selari dengan strategi ‘pelbagai hala’ Toyota ke arah neutral karbon tanpa memaksa pengguna melompat terus ke kenderaan elektrik (EV) penuh.

Vellfire HEV menawarkan jalan tengah yang realistik iaitu pengalaman elektrifikasi tanpa kebimbangan pengecasan serta perubahan tabiat pemanduan harian.
Daripada sudut rekaan, Vellfire menolak stereotaip MPV ‘kotak’ dengan falsafah Forceful x IMPACT LUXURY yang jelas kelihatan melalui wajah hadapan agresif, lampu Tri-LED tajam serta garisan sisi memberi ilusi rendah dan stabil.
Aroma eksklusif itu diteruskan dalam kabin dengan tona tema baharu Sunset Brown menyuntik rasa hangat dan matang, seiring penggunaan kulit Nappa dengan jahitan halus selain pencahayaan suasana sehingga 64 warna pula membolehkan kabin bertukar daripada ‘mobile office’ siang hari kepada ‘private lounge’ waktu malam.

Reka bentuk dalaman Vellfire banyak dipengaruhi falsafah Jepun – Omotenashi – yang menekankan fungsi dan kemudahan penggunaan menerusi susun atur kabin, sudut bukaan pintu, ketinggian lantai serta kedudukan tempat duduk dirancang untuk memudahkan pergerakan penumpang dan meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan, khususnya bagi penggunaan korporat dan jarak jauh.
Tumpuan utama sudah tentu pada kerusi Executive Lounge VIP dilengkapi larasan kuasa penuh, fungsi urut, ventilasi, Ottoman dan Relax Mode menjadikan perjalanan jauh terasa singkat.
Ditambah pula struktur anti-getaran – antara inovasi pertama Toyota yang benar-benar membezakan tahap keselesaan MPV ini.

Kawalan kerusi kini semudah telefon pintar dengan alat kawalan mudah alih membolehkan penumpang mengurus posisi duduk, urutan, pendingin hawa, tirai bumbung panoramik dan audio tanpa perlu bangun atau membongkok.
Fungsi hiburan tidak diabaikan dilengkapi skrin 14 inci di bumbung digandingkan dengan sistem audio JBL 15 pembesar suara, menghasilkan pengalaman sinematik bergerak dan pentingnya, sistem ini ditala khusus untuk frekuensi radio Malaysia adalah satu kelebihan unit rasmi berbanding import persendirian.
Dengan penekanan terhadap kualiti udara kabin, Vellfire dilengkapi teknologi NanoeX yang berfungsi menyingkirkan bakteria, virus, zarah halus dan bahan pencemar bawaan udara.
Sistem ini membantu mengekalkan persekitaran dalaman yang lebih bersih dan segar, terutama dalam keadaan trafik bandar dan perjalanan jarak jauh.
Walaupun sering dipandu pemandu peribadi, ruang pemandu tidak dianaktirikan malah ia denga paparan digital 12.3 inci, Head-Up Display dan teknologi Touch Tracer mengurangkan pergerakan mata, meningkatkan fokus dan keselamatan dan stereng kulit dengan kemasan kayu pula menaikkan rasa eksklusif di balik roda.

Di sebalik kesenyapan kabin, nadi hibrid bekerja dengan bijak menerusi enjin 2.5L Dynamic Force digandingkan motor elektrik menghasilkan kuasa sistem 250 PS – 37 peratus lebih tinggi berbanding versi petrol biasa untuk pecutan lancar dan responsif.
Mod EV membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya untuk jarak pendek, hampir tanpa bunyi dan tanpa penggunaan petrol dan di dalam bandar, inilah kelebihan sebenar MPV untuk lebih senyap, bersih dan menjimatkan.
Penggunaan bahan api serendah 5.7L/100km dan jarak anggaran sehingga 1,000km setangki, Vellfire HEV membuktikan kemewahan dan kecekapan bergerak seiring.
Bagi aspek keselamatan, Toyota Safety Sense 3.0 menjadi elemen pintar dengan fungsi seperti Sistem Pra-Pelanggaran (Pre-Collision System), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (Dynamic Radar Cruise Control), Bantuan Jejak Lorong (Lane Tracing Assist) dan Cermin Dalam Digital (Digital Inner Mirror).
Ditawarkan pada harga RM549,900 (individu) dan RM550,000 (syarikat) – tertakluk kepada spesifikasi, warna dan aksesori – sudah tentu MPV ini bakal menjadi pilihan golongan eksekutif yang mengutamakan keselesaan dan gaya.




























