
Bermaz XPENG Sdn Bhd, pengedar tunggal jenama kenderaan elektrik (EV) XPENG di Malaysia, secara rasmi mengumumkan SUV Coupe Pintar XPENG G6 akan dipasang secara tempatan (CKD) dan sedia untuk ditempah pelanggan.
Langkah pengenalan unit CKD ini menandakan fasa baharu dalam strategi pengembangan pasaran XPENG di Malaysia.
Walaupun dipasang di dalam negara, model ini tetap mengekalkan segala keunggulan terasnya merangkumi aspek teknologi termaju, kecekapan tenaga dan prestasi pintar.
Dibina berasaskan seni bina SEPA 2.0 XPENG, model G6 CKD terus menawarkan dinamik pemanduan yang mantap dan ciri pintar yang canggih.
Antara ciri utama yang dikekalkan termasuklah keupayaan pengecasan ultra-pantas 800V.
Teknologi ini membolehkan bateri dicas daripada 10 peratus hingga 80 peratus dalam tempoh hanya 12 minit, sekali gus menawarkan pengurusan tenaga praktikal yang disesuaikan khusus untuk corak pemanduan di Malaysia.
Untuk aspek keselamatan dan keselesaan pula, kesemua varian CKD dilengkapi dengan sistem XPILOT Assist.
Sistem pemanduan autonomi ini merangkumi ciri-ciri seperti:
- Adaptive Cruise Control
- Lane Centering Control
- Autonomous Parking Assist
Dengan keupayaan pemprosesan dipertingkatkan, sistem ini mampu memberikan tindak balas lebih lancar dan semula jadi dalam situasi pemanduan harian.
Ini selaras dengan komitmen XPENG untuk memperkasakan mobiliti pintar yang meningkatkan keyakinan pemandu serta kebolehgunaan optimum.
“Kesungguhan XPENG dalam meneroka mobiliti pacuan kecerdasan buatan (AI) adalah selaras dengan hala tuju Malaysia untuk memperkukuh keupayaan EV domestik serta membina ekosistem masa depan yang kompetitif,” kata Datuk Seri Francis Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad.
Beliau menambah, pihak syarikat berbangga dapat menawarkan EV pintar hasil pengeluaran domestik kepada pelanggan tempatan.
Malah, Bermaz turut mengekalkan harga jualan yang kompetitif di samping menawarkan faedah pemilikan tambahan bagi memastikan mobiliti elektrik ini kekal mampu milik seiring dengan aspirasi elektrifikasi negara.
Dipasang di fasiliti yang terletak di Melaka, XPENG G6 CKD ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) yang sama seperti pasaran sebelum ini.
Berikut adalah senarai harga mengikut tiga varian utama bagi pasaran Semenanjung Malaysia:
Varian Harga Jualan (RM)*
- XPENG G6 RWD Standard Range RM 158,888.00
- XPENG G6 RWD Long Range RM 178,888.00
- XPENG G6 AWD Performance RM 189,888.00
*Harga jualan kenderaan untuk Semenanjung Malaysia sahaja
Penghantaran pertama unit CKD kepada pelanggan dijadualkan bermula pada Ogos 2026.
Sebagai nilai tambah, Bermaz XPENG turut menawarkan program pemilikan masa terhad.
Pelanggan yang membuat tempahan awal bakal menikmati insentif eksklusif berupa unit pengecas wallbox percuma bernilai RM5,000 serta subsidi sokongan perlindungan insurans sehingga RM5,000.
Tempahan kini boleh dibuat di mana-mana cawangan pengedar sah Bermaz XPENG di seluruh negara.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web rasmi di http://www.xpeng.com.my atau dengan mengunjungi bilik pameran Bermaz XPENG berdekatan.

































