Utama Berita Automotif Denza Z9 GT (2026) rasmi lancar, harga RM358,800

Denza Z9 GT (2026) rasmi lancar, harga RM358,800

19

Denza Malaysia rasmi melancarkan station wagon elektrik (BEV) ke pasaran tempatan menerusi satu pilihan varian pada harga RMXX.

Menerusi pengenalan itu, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Pasifik (luar dari China) menerima model Z9GT (2026). 

Z9GT pasaran tempatan didatangkan dengan spesifikasi pacuan semua roda (AWD) tiga motor yang mana motor hadapan berkuasa 313PS dan tork 430Nm dan dua motor belakang yang masing-masing dengan output 422PS dan 400Nm.

Keseluruhan output yang dihasilkan Z9GT adalah 1,156PS dan 1,210Nm manakala pecutan 0-100kmj hanya 2.7 saat.

Kemudian, ia dilengkapi dengan bateri jenis Blade generasi kedua berkapasiti 122.49kWh dengan sokongan pengecasan Flash yang hanya mengambil masa 5 minit bagi isian bateri 10-70 peratus atau 9 minit (10-90 peratus).

Dengan isian bateri penuh, kereta elektrik itu menawarkan jarak pemanduan sehingga 600km (WLTP) serta menyediakan output sistem V2L sebanyak 4kW.

Daripada segi dimensi ia memiliki panjang 5,180 mm, lebar (1,990 mm), tinggi (1,490 mm) dan jarak antara roda 3,125 mm.
 

Kelebihan Denza Z9 GT adalah sistem stereng roda belakang yang mampu berfungsi pada sudut sehingga 20 darjah sekali gus membolehkan radius pusingan 4.62 meter dicapai walaupun panjang keseluruhan melebihi lima meter.

Bahagian roda pula dipadankan dengan set rim bersaiz 20-inci bersama fungsi Intelligent Crab Walk yang membolehkan kenderaan melakukan pergerakan secara pepenjuru.

Selain itu, Z9GT turut dilengkapi dengan sistem suspensi udara pintar DiSus-A yang mana talaan suspensi dan penyerap hentak ditawarkan selari dengan spesifikasi bagi pasaran Eropah.

Masuk kabin tersedia paparan instrumen digital serta paparan penumpang hadapan yang masing-masing berukuran 13.2-inci bersama gabungan skrin infotaimen tengah bersaiz 17.3-inci. 

Pemandu juga disediakan dengan paparan head up realiti terimbuh bersaiz 50-inci bersama skrin cermin pandang belakang digital berukuran 9.1-inci manakala penumpang belakang menerima skrin sentuh 6-inci dengan integrasi sistem Google Automotive Services yang merangkumi perkhidmatan Google Maps dan Google Assistant. 

Z9GT turut dilengkapi dengan kawalan iklim empat-zon, sistem audio Devialet dengan 20-pembesar suara, pencahayaan ambien, pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W berkembar dan ruang storan 4 liter dengan fungsi panas (sehingga 50 darjah Celcius) dan sejuk (serendah -6 darjah Celcius). 

Perjalanan jauh ditemani dengan sistem pembesar suara Devialet yang terdiri daripada 20 pembesar suara.

Penampilan luaran pula didatangkan dengan ciri peralatan lampu depan/belakang LED, lampu nyala siang (DRL) LED serta logo 3D Denza, bumbung panorama, spoiler belakang aktif dan lampu selamat datang gaya meteor serta ruang kargo 495 liter. 

Demi ketenangan minda pemilik, Denza Z9GT didatangkan dengan pakej pemilikan melibatkan : 

  • Waranti kenderaan 6 tahun atau 150,000km
  • Servis penyelenggaraan berjadual percuma 6 tahun bernilai RM10,000
  • Waranti bateri voltan tinggi 8 tahun atau 160,000km
  • Waranti unit pacuan 8 tahun atau 160,000km
  • Sepasang fon telinga ultra-premium edisi khas DENZA bersama Devialet® bernilai RM2,000 sebagai hadiah eksklusif

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here