Brek ditekan berkali-kali sebelum Proton Satria Neo terbakar

1378

“Saya melihat pemandu kereta dalam keadaan panik bergegas keluar bersama seorang budak lelaki disyaki anaknya dari kenderaan yang mulai terbakar,” kata Siti Fatimah Ismail.

Siti Fatimah, 30, saksi kejadian kereta Proton Satria Neo terbakar di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan kira-kira jam 10 malam, namun lelaki yang memandu dan kanak-kanak berkenaan terselamat.



Kata wanita berkenaan, sebelum kejadian, dia berada di tempat kerja, sebuah kedai makan berhampiran lokasi kejadian sebelum melihat sebuah kereta dipandu agak laju dan kemudian seakan gagal dikawal.

“Saya terdengar pemandunya menekan brek berkali-kali sebelum kereta itu berhenti dan api dilihat mulai keluar dari bahagian bawah kenderaan itu. Saya kemudian melihat pemandunya sempat keluar bersama seorang kanak-kanak lelaki sebelum kereta semakin marak terbakar.

“Saya segera menghubungi balai bomba kerana bimbang kejadian tidak diingini sebelum pihak berkuasa tiba tidak lama kemudian,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.05 malam sebelum menghantar sepasukan 10 anggota yang tiba di lokasi kejadian, sembilan minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan kereta jenis Proton Satria Neo dengan kemusnahan sebanyak 90 peratus. Api berjaya dipadam sepenuhnya 40 minit kemudian, manakala kedua-dua mangsa juga berjaya diselamatkan,” katanya.

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here