Perodua tingkat sasaran jualan 2019, sedang usaha kurangkan tempoh menunggu tempahan

349

Perodua mengumumkan mereka telah meningkatkan sasaran jualannya untuk 2019 kepada 235,00 unit, peningkatan 4,000 unit berbanding 231,000 sasaran sebelum ini.

Syarikat itu mencapai jualan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun lepas, iaitu 227,243 unit.

Bagi separuh pertama tahun ini, Perodua telah menjual 121,800 kenderaan – peningkatan sebanyak 4% dari 117,100 unit jualan pada tempoh sama 2018. Perkara ini disebabkan permintaan memberangsangkan untuk model-modelnya.

Myvi Baharu

Dari jumlah itu, Myvi masih menjadi model terlaris dengan kira-kira 43,000 unit jualan, diikuti Axia (32,000 unit), Bezza (22,000 unit), Aruz (15,000 unit) dan Alza (8,000 unit).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, dari Januari hingga Jun 2019, sebanyak 190,765 tempahan telah diterima, 3% lebih dari 184,949 tempahan untuk tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, peningkatan ini memberikan kesan positif kepada ekosistem automotif secara keseluruhan, dengan pembelian komponen sebanyak RM2.7 bilion.

Zainal turut berkata bahawa Perodua telah meningkatkan pengeluaran mereka kepada tahap maksimum untuk mengurangkan tempoh menunggu dari 2-3 bulan dan menyediakan stok tersedia sebanyak separuh bulan.

Mengurangkan tempoh menunggu ini menjadi strategi utama syarikat itu untuk separuh masa kedua 2019.

Advance Safety Assist untuk model lebih mampu milik

Perodua turut mengumumkan bahawa mereka merancang untuk memperkenalkan sistem keselamatan lebih maju ASA (Advance Safety Assist) kepada model-model lebih mampu milik dan varian lebih rendah.

Ini kerana pengenalan sistem itu kepada model-model Daihatsu di Jepun telah menyumbang kepada 53% pengurangan keselamatan.

Komen anda mungkin membantu