Mercedes bakal kurangkan pekerjaan untuk pelan penjimatan dan elektrifikasi

1075

Mercedes bakal kurangkan pekerjaan dan telah mengumumkan satu pelan untuk menjimatkan £850 juta (RM3.9 bilion) menjelang hujung 2022 dalam menampung kos peralihan ke arah kenderaan elektrik dan autonomi (pandu sendiri).

Langkah itu akan menyebabkan kehilangan 10% pekerjaan pengurusan, yang dikatakan bersamaan 1,100 pekerja.



Dalam satu persidangan pelabur diketuai oleh CEO Ola Källenius yang mengambil alih dari Dieter Zetsche pada Mei lepas, syarikat Jerman itu mendedahkan bahawa ia telah membelanjakan tambahan £430 juta (RM1.9 bilion) untuk pembangunan kereta elektrik tahun ini.

Selain itu, mereka telah membayar £750 juta (RM3.4 bilion) kepada pengawal selia selepas mengakui 700,000 kenderaan diesel yang dijual tidak menepati piawaian.

“Industri kini dalam transformasi,” kata Källenius. “Perbelanjaan itu diperlukan untuk mencapai sasaran CO2 yang memerlukan langkah komprehensif untuk meningkatkan kecekapan di semua aspek syarikat kami.”

Mercedes bakal kurangkan pekerjaan kerana berada di bawah tekanan untuk menepati sasaran pelepasan Eropah menjelang tahun depan. Syarikat itu bergelut mencapai purata 95g/km dari dari purata semasanya iaitu 138g/km dari semua kenderaan yang dijual.  

Walaupun ia berjaya menampung risiko itu melalui penjualan kenderaan elektrik – seperti Mercedes EQC – kegagalan mencapai sasaran itu boleh menyebabkan ia disaman berbilion Euro.

Daimler telahpun mengeluarkan amaran keuntungan pada 2019, dan Källenius mengatakan keuntungan akan jatuh sebanyak 4% tahun ini dan hanya akan meningkat sebanyak 6% menjelang 2022.

Dia juga turut peka dengan perang perdagangan antara AS dan China, serta impak dari Brexit, yang akan mengurangkan 1% lagi keuntungan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here