11 modifikasi yang akan buatkan anda nampak Pandir

7806

Tahukah anda siapa terlibat dalam pembangunan sesebuah kereta? Beribu-ribu orang jurutera, artis, pembuat model, pakar aerodinamik, juruteknik dan penguji yang semuanya berkemahiran dalam bidang masing-masing.

Terowong udara berkuasa dan jurutera membuat perkiraan pergerakan udara di sekeliling bentuk kereta. Pereka yang pakar bersama jurutera berkerjasama merekabentuk kereta agar nampak cantik molek, seperti yang anda mahu beli.



Namun, sesetengah dari anda lebih pandai, lalu ingin memodifikasi kereta anda. Ada yang mahu nampak lain dari orang lain, ada yang ikut trend, dan ada yang mahu tingkatkan prestasi pemanduan.

Tapi tak dinafikan, ada 11 modifikasi yang anda boleh cuba yang bukan akan menampakkan anda pandai, sebaliknya seperti Pak Pandir:

1. Spoiler yang mengarut dan terlalu besar

Siapa tak suka spoiler. Memang makin cantik dan agresif kereta itu bila ditambah spoiler. Tetapi masalah berlaku bila spoiler itu terlalu besar dan tiada fungsi.

Kereta lumba menggunakan spoiler kerana di litar, mereka perlu mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi untuk menjaga catatan masa dan mempertahankan posisi.

Tetapi jika spoiler ditambah pada kereta anda yang 98% dipandu santai di lebuhraya mungkin tidak begitu berkesan.

2. Spoiler DIY

Adakah anda tukang kayu? Adakah anda pakar dalam gentian kaca (fibre glass)?

3. Barangan prestasi ‘palsu’

Palsu atau fake di sini bukan bermaksud barangan itu tidak original. Sebaliknya, penggunaan barangan yang nampak berfungsi, tetapi sebenarnya hanya hiasan atau acah-acah.

Bukan sahaja membazir wang, malah boleh menjejaskan prestasi kenderaan anda.

4. Kebanyakan bodykit

“Kereta saya nampak sama saja macam yang lain. Saya perlu tambah bodykit supaya nampak lebih rare dan laju macam race car.”

Kami bukan bercakap mengenai kit badan dari syarikat talaan sebenar seperti Spoon, J’s Racing, Nismo atau Seeker. Tetapi kit badan yang biasanya menjadi pakej aksesori tambahan semasa anda membeli kereta.

Ya, mungkin nampak lain dari kereta lain. Tetapi, kami ragu-ragu bahawa kit badan seperti itu akan menambah kelajuan atau kestabilan kereta anda.  

5. Convert kereta anda jadi kereta lain

Kami sukakan modifikasi kereta yang masih mempunyai kaitan identiti. Contohnya Satria GTi masuk 4G63, Jazz masuk K24, fuh!

Tapi, Waja convert jadi Evo VII, Saga BLM convert jadi Impreza, Kelisa convert jadi MINI Cooper. Anda dah lihat semuanya. Sempadan antara kreativiti dengan berpura-pura terlalu nipis di sini.

Iya lah, apa perasaan pemandu Waja ini bila berhenti di lampu merah bersebelahan dengan Evo VII sebenar tu ya?

6. Men-slam kereta anda

Jika anda beragama Islam, pasti anda pernah terdengar kata-kata “bersederhanalah dalam semua perkara”. Merendahkan kereta seperti kereta lumba mempunyai kebaikan dari segi kestabilan, aerodinamik bawah kereta dan geometri sistem suspensi.

Namun bila berlebih-lebihan dalam aspek ini sehingga merosakkan kereta dan menyebabkan kereta beratur di belakang anda ketika melalui bonggol jalan raya, sudah bertentangan dengan ajaran di atas.

Cantik katanya…

7. Membeli barangan tanpa memahami fungsi

Jika anda memahami hubungan antara bump steer­ dan kenaikan camber, serta memahami kaitan antara kekerasan penyerap hentak dengan understeer/oversteer, maka berbelanjalah untuk satu set coilover mahal yang ditala khas untuk kereta anda itu.

Jika kesemua ini nampak seperti ελληνικά kepada anda, simpan dulu lah duit itu.

8. Memilih untuk stance

Ini lebih kurang dengan point nombor 6 di atas. Hmm nanti mereka kata “selera masing-masing, bro. Kami tak pakai duit korang.”

Jika anda ada sistem suspensi udara, tidak menyusahkan pemandu lain dan menggunakan kereta anda untuk acara pertunjukan, kami sokong minat ini!

9. Berbelanja ribuan ringgit untuk brek besar dan cantik

Tiada apa yang menyahut “prestasi gempak” seperti satu set brek Brembo atau AP Racing original. Siap dengan warna calliper menyerlah dan lubang pada cakera.

Namun, kereta lumba memerlukan brek berlubang untuk melepaskan tekanan gas dan haba dengan lebih berkesan dari cakera. Kenderaan ini juga mempunyai momentum yang tinggi serta sistem suspensi dan tayar yang mampu menampung kuasa brek besar itu.

Jika kereta anda masih dengan kelajuan biasa, sistem suspensi ‘stok kilang’ dan tayar biasa, maaf anda tak perlukan brek seperti ini.

Ini belum cerita bab tebuk lubang pada cakera biasa…

10. Memasang bar-bar bergaya

Bar-bar bergaya adalah gambaran kepada bar guling (roll bars atau roll cage) pada kereta lumba untuk kebaikan struktrur, pengendalian dan keselamatan.

Tetapi sayang sekali kebanyakan K-bar atau X-bar yang dipasang pada kenderaan harian ini semua hanyalah untuk tujuan kosmetik. Bazir wang dikira okay lagi, tetapi lebih buruk jika ia sehingga menjejaskan cara kereta melindungi anda sekiranya anda terlibat dalam kemalangan.

11. Menukar lencana kereta

Sesetengah kumpulan automotif bersepakat bahawa menukar lencana kereta ini adalah salah satu dari “jenayah dunia permotoran”.

Civic 1.8 tampal “Type-R”, BMW 3-Series 4-pintu tampal “M3”, Mercedes C200 tampal “AMG”, sindrom tidak berpijak di bumi nyata ini ada dalam segenap golongan dan lapisan pemandu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here