Aston Martin bergabung dengan Airbus Helicopters hasilkan ACH130

2236

Apa jadi bila pengeluar antara kereta tercantik di dunia bergabung dengan pengeluar helikopter yang merupakan antara terbaik di dunia?

Maka lahirlah ACH130 Aston Martin Edition, sebuah helikopter canggih dan versatil dengan perincian sebuah kereta sports. Hasil kerjasama itu akan memberikan 4 citarasa unik Aston Martin kepada helikopter itu.



Airbus Corporate Helicopters (ACH) berkata helikopter ini akan menarik pemilik helikopter dan juruterbang yang menghargai keseronokan memiliki dan memandu kereta mewah berprestasi tinggi.

Airbus dan Aston telah bekerjasama lebih setahun untuk mencapai nilai ACH iaitu kecemerlangan, kualiti dan perkhidmatan dengan komitmen Aston iaitu kecantikan, hasil kerja dan seni automotif.

Hasilnya ialah apa yang Aston Martin gelarkan sebagai satu tahap baharu aestetik dan perincian yang dibawa kepada pasaran helikopter.

Tempat duduk helikopter itu mempunyai “sayap” dari logo Aston Martin. Helikopter di dalam imej-imej ini mendapat warna luar Stirling Green yang berubah kepada Jet Black di bahagian bawah dan warna Skyfall Silver di bahagian belakang atas.

Skim warna lain menggunakan Xenon Grey, Arizona atau Ultramarine Black. Kabin pula diberikan ultra-suede hitam dengan pilihan kulit Oxford Tan, Pure Black, Cormorant atau Ivory. Bahagian belakang tempat duduk depan mempunyai kemasan brogue seperti pada tempat duduk DB11.

Pintu juga dibaluti kulit mewah. Setiap unit helikopter mempunyai plak dengan logo Airbus dan Aston Martin. Plak ini juga boleh diukir dengan nama pemilik jika mahu.

ACH130 Aston Martin Edition boleh didapati atas permintaan khas dengan penghantaran bermula suku pertama tahun ini. Kami belum mengetahui harga ACH130 Aston Martin Edition, tetapi Airbus H130 versi ‘standard’ bermula pada USD3.3 juta (RM13.54 juta) baru.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here