Hummer akan kembali sebagai kenderaan elektrik 1,000hp, 0-100 dalam 3 saat!

1133

Jenama ikonik dan kontroversi yang telah terkubur, Hummer, akan kembali Sabtu ini dimana iklan Super Bowl mempertontonkan kepulangannya di bawah jenama GMC.

General Motors mengumumkan keputusan itu dan menayangkan beberapa klip (di bawah) pada pagi semalam (Khamis), mengesahkan laporan-laporan kembalinya Hummer yang telah berlegar selama berbulan-bulan.



Dikecam oleh kumpulan pencinta alam sekitar pada awal tahun 2000-an, Hummer kini kembali dengan janaan elektrik-sahaja dan berkuasa 1,000hp, 15,590Nm tork dan pecutan 0-100km/j dalam 3 saat sahaja.

Jarak pemanduan elektrik tidak didedahkan. Video teaser atau sisipan itu menunjukkan gril yang mengingatkan kepada model Hummer yang lama, walaupun rupanya dikemaskini dengan lampu-lampu moden.

Hummer baharu ini akan dibina oleh GM di kilang Detroit-Hamtramck di Michigan yang dulu pernah hampir ditutup.

Ia akan didedahkan pada 20 Mei di sebuah acara, kemungkinan di Las Vegas. Trak itu akan mula dijual pada musim luruh 2021.

Naib presiden Global Buick dan GMC, Duncan Aldred berkata, “GMC menghasilkan trak dan SUV berkuasa dan premium, jadi GMC Hummer EV menaikkan ini ke satu tingkat lagi.

“Kami teruja melancarkan trak emisi sifar kami ini semasa malam terbesar dan terpenting dalam pengiklanan TV,” katanya.

Hummer akan mensasarkan pengeluar SUV dan trak elektrik, termasuk Rivian, yang mana pada Rabu berkata akan membantu Lincoln membina kenderaan elektrik pertama mereka dengan kerjasama Ford.

Hummer ini juga akan berdepan dengan Tesla Cybertruck, Bollinger EV dan beberapa pesaing lain.

GM menutup operasi Hummer pada 2010 selepas cuba menjual jenama itu kepada pelabur Cina semasa penstrukturan semula dan bankrap pada tahun sama.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here