PKP: Orang lain duduk rumah, hang buat wheelie, dah kena tahan

4954

Bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah seorang penunggang skuter turut melakukan aksi wheelie di Taman Seri Utama, Gurun

Lelaki berusia 26 tahun dan rakannya berusia 20-an dikatakan menunggang motosikal berasingan ditahan polis yang melakukan rondaan di kawasan itu pada petang kelmarin.

Polis mengeluarkan saman terhadap lelaki itu kerana menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Bagi motosikal rakannya pula disaman kerana tiada nombor pendaftaran.



Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, pihak polis mengarahkan mereka beredar, tetapi lelaki itu yang menunggang skuter Yamaha NVX155 bertindak melakukan aksi wheelie.

Menurutnya, perbuatan lelaki itu mengundang bahaya kerana dia juga didapati tidak memakai topi keledar.

“Polis kemudian mengekorinya sehingga tiba di hadapan rumahnya sebelum menahan lelaki itu pada 6.50 petang (semalam).

“Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Gurun berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, lelaki itu sepatutnya berada dalam rumah ketika PKP masih dilaksanakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan (7)(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Harian Metro

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here