Gajah mengamuk pijak kereta di Gerik, lepas dengar bunyi hon

2934

Seekor gajah telah mengamuk dan memijak sebuah kereta setelah sebuah kereta lain membunyikan hon. Lima individu yang berada dalam kereta berkenaan bagaimanapun sempat melarikan diri.

Kejadian ini difahamkan berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, tidak jauh dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa kira-kira jam 7 malam tadi.



Berdasarkan info yang kami ketahui, semasa kereta berkenaan berhenti kerana gajah tersebut berada di tengah jalan, kereta lain yang berada di belakang membunyikan hon.

Setelah terdengar bunyi hon, gajah tersebut bangun dan mengamuk sehingga memijak bonet kereta tersebut.

gajah mengamuk

Kelima-lima mangsa difahamkan terpaksa menumpang kenderaan lain untuk berpatah balik dan berhenti di Hentian (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, akibat kejadian itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan kecil.

“Bagaimanapun, kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, kakitangan sudah dihantar ke lokasi bagi melakukan siasatan lanjut dan pemantauan.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan pemandu supaya bersabar dan tidak memasang lampu tinggi ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu malam.

“Jangan bunyikan hon atau paling penting jangan cuba menghalau gajah berkenaan,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here