Maxus T60 sebuah trak pikap paling mampu milik, 5-bintang ANCAP, kapasiti tunda hingga 3,000kg

146

Maxus, satu jenama yang terkenal dengan van seperti shuttle kini memperkenalkan T60, sebuah trak pikap yang akan melebarkan sayapnya ke segmen baharu di negara ini.

Dengan harga hanya RM99,888 (tanpa insurans dan cukai jalan), Maxus T60 dikatakan trak pikap 4×4 paling mampu milik dalam pasaran. Sebagai perbandingan, harganya RM20,000 lebih rendah dari pesaing terdekatnya.

Tawaran ini juga lebih menarik kerana Maxus menawarkan T60 bersama rim aloi 19-inci bersama tayar Continental 255/55.

Kelengkapan luaran utama ialah lampu automatik dengan DRL, pelarasan ketinggian automatik dan fungsi follow-me home.

Antara ciri standard pada Maxus T60 adalah butang push start, penghawa dingin automatik, rak kargo aluminium, roll cage stainless steel, pemijak tepi, pembuka pintu krom, cermin sisi krom dan lampu kabus depan.

Di bahagian dalam, Maxus T60 dilengkapi stereng dengan butang pelbagai fungsi, dan unit infotainmen 10-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Ia juga mendapat cermin khas yang memberikan perlindungan dari sinar ultra-ungu.

Trak pikap ini juga cukup praktikal dengan tempat duduk depan berkuasa dan menariknya, tempat duduk belakangnya boleh dilipat. Satu-satunya trak pikap dengan fungsi ini.

Satu pilihan enjin sahaja untuk Maxus T60 buat masa ini, iaitu unit 2.8-liter DOHC VGT turbo, dan menepati piawaian Euro 4.

Enjin ini menjana 150hp pada 3,400rpm dan 360Nm tork dari 1,600 hingga 2,800rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan dan kuasa dihantar ke semua roda melalui sistem pacuan empat-roda elektronik dari BorgWarner.

Anda boleh memilih beberapa mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Power. Menurut Maxus, enjin ini mempunyai penggunaan bahan api 9.2 liter per 100km, dan ia memberikan T60 kapasiti kargo 815kg serta kapasiti tunda sehingga 3,000kg.

Untuk keselamatan pula, Maxus T60 ini bertaraf 5-bintang untuk ANCAP, dan ciri lain termasuklah Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), ABS, EBD, Traction Control, Brake Assist, Roll Movement Intervention, Blind Spot Assist, Hill Start Assist Control dan Hill Descent Control.

Maxus T60 dilindungi oleh jaminan 5 tahun atau 130,000km. Penyelenggaraannya juga hanyalah setiap 15,000km.

Pilihan warna untuk Maxus T60 adalah Obsidian Black, Agate Red, Lava Grey, Blanc White, Aurora Silver dan Ocean Blue. Untuk maklumat lanjut, layari www.weststarmaxus.com.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here