Kehilangan kenderaan di tempat parkir dapat pembelaan dari mahkamah

1826

Kehilangan kenderaan di tempat parkir berbayar sebelum ini tidak mendapat pembelaan dari mana-mana pihak, termasuk pihak pengurusan yang menyediakan tempat parkir tersebut.

Namun kini, semua perkara tersebut berubah setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan bersejarah apabila memperakukan ketetapan mahkamah sebelumnya bahawa pengurusan tempat parkir boleh disaman atas kecuaian.



Ini bermakna, orang awam yang mengalami kehilangan kenderaan di tempat parkir kini berpeluang memperolehi pampasan daripada pengurusan tempat parkir berkenaan.

Panel tiga hakim sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen mengarahkan sebuah syarikat pengurusan tempat parkir membayar pampasan RM117,000 kepada sebuah syarikat sewa kereta yang mengalami kecurian kenderaan di tempat parkir itu.

Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa Sunway Parking Services Sdn Bhd mempunyai tanggungjawab memenuhi perjanjian apabila sebuah kereta milik Euro Rent A Car Sdn Bhd diletakkan di tempat parkir syarikat itu.

Hakim Hanippah Farikullah, Lee Swee Seng, dan Che Mohd Ruzima Ghazali bersetuju syarikat tidak boleh mengelak kebertanggungjawaban dengan menggunakan ‘fasal pengecualian’ dalam perjanjian itu.

Fasal pengecualian itu selalunya tertera di tiket membawa maksud bahawa syarikat tidak bertanggungjawab atas sebarang kejadian pada kenderaan di tempat parkir berkenaan.

Penghakiman oleh Mahkamah Rayuan berkenaan disampaikan secara lisan dan peguam Euro Rent Ameerul Aizat Noor Hazlan berkata beliau akan memohon hujah keputusan bertulis kerana ia keputusan duluan.

“Hujah keputusan ini boleh memberi bantuan dalam memberikan kesedaran pemilik kenderaan dan pengurusan syarikat tempat parkir mengenai hak dan kebertanggungjawaban mereka,” katanya.

Pada 25 April 2016, Euro Rent menyewa kereta dengan plat BNS 9066 kepada seorang warga Perancis, Hemici Sofiane.

Dua hari kemudian, Sofiane meletakkan kereta itu di The Pinnacle Sunway di Bandar Sunway, Petaling Jaya kira-kira 2.30 petang tetapi mendapati kenderaan itu dicuri pada malamnya.

Rakaman CCTV menunjukkan kenderaan itu dicuri dan keluar daripada tempat parkir berkenaan tanpa tiket. Ini dilakukan oleh pencuri dengan mengekori rapat kereta lain untuk keluar sebelum palang kawalan sempat diturunkan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, mendapati Sofiane membayar yuran tempat parkir dan pengurusan tidak boleh bergantung kepada syarat bahawa pemilik kenderaan bertanggungjawab penuh atas kenderaan yang diletakkan itu.

Keputusan itu diperakukan di Mahkamah Tinggi pada 2018 dan keputusan Mahkamah Rayuan memperakukannya bermakna tidak ada rayuan lagi yang boleh dikemukakan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here